Skuad Khas Harian Metro

Langkawi: Adakah dalam tempoh lima tahun akan datang lokasi peranginan terkemuka, Pulau Langkawi akan menjadi 'Pulau Sampah'?

Itu jangkaan buruk yang dibuat jika seandainya tiada tindakan diambil pihak berkuasa berkaitan dalam tempoh terdekat akibat pembuangan sampah secara berterusan terus ke dalam lautan.

Berdasarkan data diperoleh Skuad Khas Harian Metro, Langkawi menghasilkan 150 tan sisa sampah sehari walaupun mempunyai penduduk dianggarkan 111,500 orang sahaja.

Maklumat mendedahkan sebahagian besar masalah itu datang daripada penempatan di Bukit Malut terletak kira-kira lapan kilometer dari Pekan Kuah.

Difahamkan, penduduk di perkampungan Bukit Malut didiami kurang 5,000 Melayu Islam Kedah (MIK) yang didakwa membuang sampah dari tingkap rumah mereka terus ke dalam laut menyebabkan timbunan sampah-sarap kini memenuhi dasar lautan.

Bukan itu sahaja, pemandangan luar biasa dapat dilihat apabila perkampungan Bukit Malut kini dipenuhi sampah-sarap yang nyata mencacatkan pemandangan pulau legenda itu.

AKTIVITI penduduk yang kebanyakkan adalah nelayan keluar mencari hasil laut. FOTO Rohanis Shukri
AKTIVITI penduduk yang kebanyakkan adalah nelayan keluar mencari hasil laut. FOTO Rohanis Shukri

Lebih mengejutkan, berdasarkan maklumat diperoleh daripada sumber terdekat, syarikat konsesi bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di pulau itu memperoleh tiga tan sampah untuk sekali kutipan di penempatan itu.

Dianggarkan seminggu tiga kali kutipan sampah dilakukan di penempatan itu, adakah ini bermakna, lebih sembilan tan sampah selama seminggu dihasilkan mereka?

Mengulas perkara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Radzuan Osman berkata, dianggarkan seorang penduduk Bukit Malut menghasilkan 0.7 kilogram sampah sehari.

"Kita turut menyediakan dua tong roro bermuatan empat tan dan melakukan kutipan tiga kali seminggu di perkampungan Bukit Malut. Jika diunjurkan dengan jumlah tong berkenaan sudah mencukupi menampung lebih tiga tan sampah sehari bagi penduduk Bukit Malut.

"Dengan kerjasama SWCorp dan E-idaman, kita juga mengagihkan bantuan beg plastik supaya penduduk melupuskan sampah dengan betul selain gotong- royong bersama komuniti di perkampungan Bukit Malut tiga kali setahun (sebelum Perintah Kawalan Pergerakan).

"SWCorp turut menebus barangan kitar semula dari penduduk dengan wang ringgit atau barangan keperluan. Selain itu, kita turut mengadakan program Flea Market iaitu pengagihan pakaian terpakai yang masih elok kepada penduduk Bukit Malut," katanya.

Malu dengan sikap penghuni Bukit Malut

Malu dengan pertanyaan pelancong apabila ditanya mengenai sampah terapung di lautan.

Itu reaksi pemilik bot yang menjadi 'duta kecil' di pulau legenda itu ketika membawa pelancong menyusuri lautan Langkawi ke pulau kecil sekitarnya.

Ahmad (bukan nama sebenar), 40-an, berkata, apabila ditanya pelancong dia hanya tersenyum dan sukar untuk menceritakan hal sebenar.

"Rata-rata pemilik bot dan nelayan tahu dari mana datangnya sampah terapung di perairan pulau ini, lebih-lebih lagi jika melalui perkampungan Bukit Malut.

"Malah, kadang-kadang jelas penduduk di situ mencampakkan sisa buangan dalam lautan yang berjaya dirakam pelancong," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia berharap kerajaan negeri dapat melakukan sesuatu sebelum pulau terkenal dengan aktiviti pelancongan itu bertukar menjadi 'pulau sampah' disebabkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak.

"Pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan mengenakan kompaun kepada mereka yang membuang sampah terus ke dalam lautan," katanya.

Pendapat sama turut dinyatakan seorang nelayan yang mahu dikenali sebagai Ali, 30-an berkata, sejak kebelakangan ini sampah sarap dari penempatan itu sudah dihanyutkan sehingga pulau kecil dan mencacatkan pemandangan.

"Malu dengan pelancong yang datang apabila ada yang bertanya apabila melihat sampah-sarap terapung memenuhi lautan.

"Pihak berkuasa perlu melakukan sesuatu supaya pulau ini tidak menjadi pulau sampah nanti kerana hampir 85 peratus penduduk di sini mencari rezeki dalam sektor pelancongan," katanya.

Keadaan penempatan berselerak dan kemudahan asas yang tidak lengkap, membuatkan longgokan sampah sarap dibiarkan bertimbun di keliling rumah mengakibatkan bau tidak menyenangkan.

SAMPAH yang terapung diperairan laut Langkawi ketika tinjauan menaiki bot menjejaskan nama baik pulau pelancongan terkemuka Langkawi. FOTO Rohanis Shukri
SAMPAH yang terapung diperairan laut Langkawi ketika tinjauan menaiki bot menjejaskan nama baik pulau pelancongan terkemuka Langkawi. FOTO Rohanis Shukri

Isu timbunan sampah sekitar Bukit Malut pernah dibangkitkan sebelum ini sehingga Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah terpaksa mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan berkenaan bersama penduduk dan mengeluarkan bertan-tan sampah.

Tinjauan juga mendapati tong sampah yang disediakan hanya menjadi 'perhiasan' dan mereka lebih gemar membuang sampah ke dalam laut.

Ketika ini, dianggarkan lebih 1,000 kediaman dibina di kawasan itu dengan jumlah penghuninya dianggarkan hampir 5,000 orang.

Difahamkan, penempatan ini mula dibuka sejak awal 80-an, yang membina rumah di kawasan pesisir laut sebelum ia terus berkembang sehingga ke kawasan bukit. Hampir separuh penghuni penempatan yang dipanggil Melayu Islam Kedah (MIK) itu memiliki dokumen pengenalan diri, MyKad, membolehkan mereka menjadi pengundi berdaftar.

Pengalaman wartawan harungi sampah

Pulau Langkawi yang menerima kedatangan lebih tiga juta pelancong setahun berkemungkinan akan menjadi 'pulau sampah' jika tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

Hasil tinjauan wartawan Skuad Khas Harian Metro yang menaiki bot di perairan pulau berkenaan mendapati lautan membiru di situ kini dipenuhi sampah sarap dipercayai dibuang penduduk perkampungan Bukit Malut yang didiami hampir 5,000 penduduk.

Malah, ramai nelayan mengeluh apabila mereka sering berdepan risiko setiap kali keluar mencari rezeki apabila bot dipandu 'terlanggar' sampah-sarap. Sesetengah daripada mereka hilang punca pendapatan harian disebabkan bot rosak.

Menguatkan lagi dakwaan itu, wartawan Skuad Khas Harian Metro melakukan tinjauan menggunakan bot dari Jeti Pekan Rabu menyusuri lautan membiru sekitar pulau itu.

Dapatan mengejutkan ini membuat wartawan tidak percaya apabila melihat sampah-sarap terapung di permukaan air.

Sepanjang laluan perairan itu, jelas kelihatan sampah-sarap terapung di permukaan yang boleh mencacatkan pemandangan sebagai pulau pelancongan terkenal dalam dan luar negara.

Tidak dapat dijangka bagaimana keadaan di dasar lautan, mungkin dipenuhi sampah-sarap kerana permukaan lautan sudah penuh dengan botol, plastik sampah dan sisa buangan makanan.

Difahamkan, penduduk di perkampungan Bukit Malut yang didiami oleh Melayu Islam Kedah (MIK) membuang sampah dari tingkap rumah mereka terus ke dalam laut menyebabkan timbunan sampah-sarap kini memenuhi dasar lautan.

Bukan itu saja, pemandangan menjijikkan dapat dilihat apabila perkampungan Bukit Malut yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Pekan Kuah kini dipenuhi sampah-sarap yang nyata mencacatkan pemandangan pulau legenda itu.

SAMPAH dan botol plastik terdampar dipantai memberi gambaran buruk keatas nama baik pulau pelancongan terkemuka Langkawi. FOTO Rohanis Shukri
SAMPAH dan botol plastik terdampar dipantai memberi gambaran buruk keatas nama baik pulau pelancongan terkemuka Langkawi. FOTO Rohanis Shukri

Wartawan kemudian menuju ke sebuah pulau kecil dikenali Pulau Singa dan mendapati pesisir pantainya dipenuhi sampah sarap yang dihanyutkan.

Bukan mahu menyalahkan penduduk di perkampungan Bukit Malut, tetapi apungan sampah yang dijejaki wartawan jelas dilihat datang dari arah penempatan itu.

Baru-baru ini tular rakaman video berdurasi 43 saat di media sosial memaparkan sampah terapung yang didakwa dari arah perkampungan Bukit Malut.

Lebih menyedihkan, perkara itu berlaku beberapa hari selepas Langkawi yang dipilih sebagai destinasi projek rintis gelembung pelancongan mula menerima kedatangan pelancong selepas berbulan-bulan ditutup akibat pandemik Covid-19.

Malah, pelancong yang berkunjung pula dituduh membuang sampah di pulau peranginan berkenaan.

Bagaimanapun, menerusi laporan Harian Metro pada 19 September lalu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Radzuan Osman mengesahkan sampah itu datang dari penempatan di Bukit Malut dan terapung di perairan pulau ini ketika musim tengkujuh dan air pasang besar.

"Ini kerana apabila air pasang besar sehingga ke rumah di penempatan itu, sampah yang sebelum ini dibuang akan dihanyutkan ke tengah laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 8:37 AM