Mohamed Hashim (tiga dari kiri) bersama sebahagian penduduk Kampung Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam yang membuat bantahan ketika Program Taklimat Pembinaan Reban Ayam tertutup oleh KPAM di Balai Raya Kampung Parit Haji Basri, Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
Mohamed Hashim (tiga dari kiri) bersama sebahagian penduduk Kampung Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam yang membuat bantahan ketika Program Taklimat Pembinaan Reban Ayam tertutup oleh KPAM di Balai Raya Kampung Parit Haji Basri, Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

PENDUDUK di Kampung Parit Haji Basri, Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Kampung Parit Gantung dekat Simpang Renggam mendesak agar masalah lalat serta bau busuk yang sedia ada diselesaikan terlebih dahulu sebelum cadangan pembinaan ladang ternakan ayam yang baharu dilakukan.

Penduduk Kampung Datuk Ibrahim Majid, Mohamed Hashim Yaacob, 61, berkata, mereka tidak menolak projek pembinaan yang dirancang namun perancangan pembangunan itu dikhuatiri akan menambahkan lagi masalah penduduk.

Menurutnya, pihak yang merancang pembangunan itu harus memikirkan masalah yang mereka hadapi terlebih dahulu dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

"Ada penduduk di kampung ini yang sudah tidak tahan dengan gangguan lalat sampai sanggup menjual tanah dan berpindah ke tempat lain yang lebih selesa.

"Saudara yang datang bertandang hanya sanggup tinggal di rumah kami tidak lebih dua hari kerana tidak tahan dengan gangguan lalat," katanya.

Mohamed Hashim berkata demikian ketika bersama kira-kira 20 penduduk kampung yang hadir untuk membantah dalam Program Taklimat Pembinaan Reban Ayam Tertutup oleh Konsortium Penternak Ayam Muslim Berhad (KPAM) di Balai Raya Kampung Parit Haji Basri hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) Mohamad Sukry Abd Rahim berkata, pihaknya mengambil ketetapan menggantung kelulusan pembinaan reban ayam berkenaan berikutan keresahan yang disuarakan oleh penduduk.

Menurutnya, penduduk tidak mahu mengambil risiko untuk membenarkan pembinaan reban ayam yang baharu berikutan mereka sudah trauma dengan situasi yang sedia ada sekarang.

"Ketetapan penggantungan kelulusan ini bagi memastikan kesejahteraan penduduk yang sudah berhadapan masalah bau busuk dan lalat sejak sekian lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 5:45 PM