GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Gerik: Seorang lelaki Orang Asli mati dipercayai dipijak gajah di kawasan kebun getah di Kampung Lerlar, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pos Kemar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, dalam kejadian jam 3.15 petang, mangsa yang berusia 65 tahun disahkan mati di lokasi selepas ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa pergi ke lokasi berkenaan untuk mencari kayu, sebelum suara teriakan mangsa yang disusuli bunyi tempikan gajah didengari anak perempuannya yang berusia 44 tahun.

"Selepas reda, anak perempuan mangsa yang juga saksi kejadian pergi ke lokasi berkenaan bersama abang iparnya sebelum menemukan mangsa.

"Dia juga terlihat kelibat seekor gajah di kawasan itu," katanya pada kenyataan.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dan masyarakat di kawasan berkenaan diminta berhati-hati ketika menjalankan aktiviti pertanian.

Mereka juga diminta memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kehadiran hidupan liar supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 2:29 PM