SEBAHAGIAN PATI yang ditahan dalam Ops Selera oleh Jabatan Imigresen di pusat beli-belah, semalam.
SEBAHAGIAN PATI yang ditahan dalam Ops Selera oleh Jabatan Imigresen di pusat beli-belah, semalam.
Fazrik Kamarudin

Kuala Lumpur: Bersembunyi di bawah dapur memasak termasuk ada antaranya lari menyorok di dalam tandas premis. Itu antara gelagat pekerja dan chef warga asing yang dikesan bekerja secara haram di sebuah medan selera di Jalan Pudu di sini.

Mereka didapati cuba melarikan diri sebaik menyedari sepasukan anggota Jabatan Imigresen (Imigresen) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menggempur lokasi medan selera terletak di tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah borong jam 12 tengah hari semalam.

Melalui operasi dilakukan pihak Imigresen WPKL itu, seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 18 lelaki yang melakukan pelbagai kesalahan diberkas.

Ops Selera adalah operasi susulan pelaksanaan Ops Mega 3.0 pada 1 Julai lalu bagi mengesan dan menahan PATI di seluruh negara.

Pengarah Imigresen WPKL, Hamidi Adam, berkata, dalam operasi itu pihaknya memeriksa 45 warga asing yang bekerja di medan selera terbabit.

SEBAHAGIAN lagi PATI yang ditahan.
SEBAHAGIAN lagi PATI yang ditahan.

“Ketika serbuan, pendatang asing yang disyaki tidak memiliki sebarang dokumen membuat pelbagai helah dan bersembunyi, malah ada juga yang bertindak nekad cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, kecekapan anggota imigresen berjaya menggagalkan usaha itu. Hasilnya kami menahan 30 PATI iaitu 18 lelaki dan 12 wanita yang melakukan pelbagai kesalahan,”, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Hamidi berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1966 kerana salah guna pas atau permit, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa, Seksyen 6(1)(c) akta yg sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, daripada 30 yang ditahan, 10 individu adalah warga Bangladesh, Indonesia (8), Myanmar (7) dan Pakistan (5), kebanyakkan mereka berusia antara 25 hingga 45 tahun.

“Selain PATI, kami juga turut mengambil tindakan terhadap majikan, kita mengeluarkan Borang 29 iaitu saman kepada saksi mengikut Seksyen 56(1)(d) dan 55E kerana melindungi dan menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 10:26 AM