Antara Pati yang ditahan. FOTO ihsan JIM
Antara Pati yang ditahan. FOTO ihsan JIM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Helah beberapa pendatang asing tanpa izin (Pati) menukar pakaian seragam kerja dengan pantas untuk berlakon sebagai pengunjung bagi melarikan diri gagal apabila mereka berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah kompleks beli-belah di Solaris, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya membuat serbuan di kompleks berkenaan kira-kira jam 3 petang selepas program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) tamat pada 31 Disember lalu.

"Serbuan itu dilakukan 38 pegawai daripada Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan JIM dengan membuat pemeriksaan terhadap 60 warga asing dari pelbagai negara berusia antara 24 hingga 42 tahun," katanya.

Katanya, ketika serbuan, ada warga asing bertindak pantas dengan menukar pakaian seragam kerja yang dipakai untuk berlakon sebagai pengunjung bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa, tetapi tidak berjaya.

"Seramai 13 lelaki warga India ditahan atas kesalahan salah guna pas dan tinggal lebih masa. Selain itu, seorang lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat juga pekerja warga asing yang digajikan sudah mendaftar untuk program Rekalibrasi Pulang dan dalam proses penghantaran pulang mengikut tarikh yang disediakan majikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, operasi itu dijalankan di kawasan pusat perniagaan lot premis lima tingkat.

"Kebanyakan warga asing bekerja sebagai pemandu parkir valet, pengawal keselamatan, tukang cuci dan juru jual di premis berkenaan.

"Hasil pemantauan dilakukan, semua warga asing berkenaan digaji oleh majikan warga tempatan," katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan dikenal pasti dilakukan warga asing berkenaan adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.

"Semua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kami menggesa warga asing supaya mengambil kesempatan untuk menyertai Program Rekalibrasi Pulang PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela.

"Walaupun program ini dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022, JIM tidak akan berdiam diri dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi menangkap Pati dan majikan yang masih degil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 4:44 PM