Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Dua beradik bersama suami masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan menyimpan harta rompak iaitu barangan kemas seberat 247.65 gram (g), April lalu.

Harta itu adalah milik seorang pempengaruh media sosial yang juga usahawan makanan Kieda Crepe.

Tertuduh, Nurul Hidayah Mahat, 24, dan adiknya, Endang Nur Nabila Suriana, 22 bersama suami mereka, Muhammad Ezwan Syafiq Joha, 27, dan Muhammad Affizan Abdullah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mereka dituduh menyimpan harta iaitu seutas gelang tangan, seutas rantai leher gantung love, seutas rantai tangan dan seutas rantai leher yang keseluruhannya seberat 247.65g kepunyaan Siti Nur khalida Yusra Mohd Jais melalui hasil rompakan berkumpulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Aman Kepala Batas di Seberang Perai Utara pada 9 malam, 25 April lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh, namun peguam Ranjit Singh Sandhu yang mewakili mereka memohon ikat jamin.

DUA beradik wanita dan suami masing-masing dituduh menyimpan harta rompakan milik peniaga Kieda Crepe. FOTO Nur Izzati Mohamad.
DUA beradik wanita dan suami masing-masing dituduh menyimpan harta rompakan milik peniaga Kieda Crepe. FOTO Nur Izzati Mohamad.

Menurut Ranjit, anak guam wanitanya iaitu dua beradik itu mempunyai masalah kencing manis kronik selain seorang daripadanya mempunyai dua anak yang masih kecil.

Hakim kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing RM18,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada 1 dan 15 haribulan setiap bulan.

Mereka juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mendekati mangsa serta saksi sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan 19 Julai.


Reman perompak rumah Kieda Crepe disambung

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 4:38 PM