Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Pantas bertindak apabila seramai 19 individu diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti rasuah besar-besaran membabitkan tiga agensi kerajaan.

Tindakan diambil susulan pendedahan eksklusif Harian Metro sejak Ahad lalu berhubung kegiatan rasuah membabitkan berpuluh anggota agensi penguatkuasa di laut.

Difahamkan setakat jam 1 tengah hari semalam, seramai sembilan anggota dan pegawai tiga agensi penguat kuasa diberkas manakala 10 individu di kalangan orang awam serta 'tauke' nelayan yang memberi rasuah diberkas SPRM.

Sumber SPRM berkata, pihaknya mengadakan operasi Ops Tunda di seluruh negara bermula pagi semalam, bagi mengesan suspek terbabit.

"Melalui operasi itu, seramai sembilan penjawat awam ditahan membabitkan dua individu bertugas di Johor, seorang suspek masing-masing di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Perlis. Turut diberkas dua anggota penguatkuasa di Kedah.

"SPRM turut menangkap orang awam yang disyaki memberikan rasuah. Ia membabitkan lima individu di Pulau Pinang, empat individu di Kedah dan seorang di Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, penjawat awam ditahan membabitkan tujuh pegawai dan kakitangan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), seorang anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan seorang agensi Jabatan Perikanan (DOF).

"Melalui operasi khas itu, pegawai SPRM merampas pelbagai telefon pintar selain wang tunai berjumlah RM20,950.

"Terdapat baki beberapa individu lagi masih dalam buruan SPRM ketika ini.

"Semua suspek yang ditahan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah dan Mahkamah Majistret Pulau Pinang pagi esok (hari ini) untuk mendapatkan perintah reman.

Menurutnya, siasatan berhubung Ops Tunda belum selesai sepenuhnya berikutan masih ramai individu disyaki sedang disiasat SPRM menerusi operasi fasa 2 kelak.

Sementara itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya yang dihubungi mengesahkan berhubung semua tangkapan itu.

Beliau menzahirkan kekecewaan terhadap anggota penguat kuasa dari pelbagai agensi yang sanggup bersekongkol dengan penjenayah dan melindungi kegiatan ini hanya kerana wang ringgit.

"Mereka ini adalah petugas barisan hadapan yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang dan menjaga khazanah laut serta keselamatan negara.

ANTARA suspek yang ditahan SPRM.
ANTARA suspek yang ditahan SPRM.

"Operasi demi operasi sudah dijalankan SPRM sejak beberapa tahun ini. Namun masih ramai yang berani melakukan rasuah bagi melindungi aktiviti jenayah.

"Pada siapa lagi boleh kita harapkan untuk menjaga perairan negara dari kegiatan seumpama ini termasuk penyeludupan? Saya berharap ketua jabatan masing-masing mengambil tindakan tegas bagi membendung isu ini dari berulang," katanya.

Harian Metro semalam mendedahkan berpuluh kakitangan dan pegawai penguatkuasa dikesan menerima suapan 'duit haram' secara bulanan sejak lebih lima tahun lalu.

Kegiatan itu berjaya dikesan SPRM susulan risikan dilakukan terhadap tiga agensi penguatkuasaan membabitkan agensi Jabatan Perikanan (DOF), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Berdasarkan risikan, terdapat empat faktor mengapa pemilik bot nelayan dan pemilik sangkar ikan memberikan rasuah kepada agensi penguat kuasa.

Pertama, rasuah diberikan oleh pengusaha bot dan nelayan yang tidak memiliki alat Pengesan Lokasi Individu (PLB) walaupun ia diwajibkan bagi setiap bot atau kapal nelayan berdaftar. Ia termasuk nelayan yang beroperasi tanpa permit atau lesen tamat tempoh.

Kedua, pemberian rasuah turut membabitkan pemilik kapal nelayan yang menggunakan pukat tunda, pukat harimau atau pukat buaya yang diharamkan di kawasan Zon A iaitu lima batu nautika dari pantai.

Ketiga duit suapan turut diberikan oleh pemilik atau tekong bot nelayan yang melakukan kesalahan menangkap ikan di luar kawasan zon dibenarkan.

Keempat, rasuah turut diberikan pemilik sangkar ternakan ikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin (Pati) sebagai pekerja di sangkar masing-masing.

'Beri masa mereka siasat dahulu'

'Beri masa mereka siasat dahulu', demikian reaksi Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Mohd Zubil Md Som berhubung penahanan anggotanya yang disyaki menerima rasuah.

Mohd Zubil ketika dihubungi Harian Metro semalam berkata, pihaknya akan memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

"Kami akan keluarkan kenyataan berhubung perkara ini," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu Harian Metro melaporkan lebih kurang 40 anggota penguat kuasa termasuk Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan pegawai Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam pemerhatian SPRM kerana disyaki menerima rasuah.

Kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak lima tahun lalu terbongkar hasil risikan dan siasatan SPRM.

Pada 22 Februari lalu, empat anggota APMM Daerah Maritim 1 Langkawi direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan pemerasan sebagai perlindungan kepada bot nelayan.

Suspek ditahan adalah dua anggota Maritim Malaysia berpangkat Lanskar Kanan Maritim dan masing-masing berpangkat, Bintara Muda Maritim dan Pegawai Waran II Maritim.

Penahanan kesemua suspek berusia lingkungan 30-an itu dilakukan susulan tangkapan dan siasatan kes sama yang dilakukan SPRM Perlis, baru-baru ini.

Amaran keras anggota Maritim Malaysia rasuah

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memberi amaran keras kepada anggota dan pegawainya untuk tidak berkompromi mengenai isu rasuah dan integriti.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) (Maritim Malaysia), Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin, menegaskan pihaknya sentiasa memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi isu integriti atau sebarang salah guna kuasa membabitkan warganya.

"Dalam menangani isu ketirisan dan salah guna kuasa di kalangan warga Maritim Malaysia, kami memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sejak lebih 10 tahun, Maritim Malaysia meningkatkan usaha preventif dan punitif menerusi pelbagai program. Bukan setakat penyaluran maklumat semata-mata, namun Maritim Malaysia juga memberi kerjasama penuh di dalam apa jua kempen SPRM dalam usaha memberi kesedaran kepada warga Maritim Malaysia supaya membudayakan amalan berintegriti dalam tugasan seharian mereka," katanya.

Menurutnya, pihak Maritim Malaysia sudah mengambil tindakan sehingga ke peringkat buang kerja kepada mana-mana anggota atau pegawainya yang didapati bersalah melakukan kesalahan seperti rasuah ketika menjalankan tugas.

Beliau mengulas laporan akhbar Harian Metro, semalam berhubung terdapat segelintir penguatkuasa di laut membuat kutipan wang perlindungan bulanan terhadap nelayan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 12:00 PM