Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Taktik peniaga membalut bungkusan air ketum dengan kertas pembalut makanan bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila gerai nasi lemaknya di Bagan Dalam, di sini, diserbu polis, hari ini.

Dalam serbuan pada 1.13 tengah hari itu, lelaki berusia 44 tahun dan pekerja lelakinya berusia 23 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan itu dilakukan selepas seorang lelaki lain berusia 41 tahun ditahan di sebuah pondok di hadapan flat Bagan Dalam, di sini, pada 11.56 pagi.

"Pemeriksaan polis ke atas lelaki itu menemui satu tong sampah berwarna hitam mengandungi 10 bungkusan plastik lutsinar berikat getah dipercayai air ketum.

"Hasil siasatan lanjut, lelaki berkenaan membawa polis ke gerai nasi lemak berhampiran sebelum menahan peniaga dan seorang pekerjanya.

"Anggota polis yang membuat pemeriksaan kemudian menemui tiga bungkusan kertas (pembalut makanan) dan apabila dibuka terdapat bungkusan plastik lutsinar berikat getah di dalamnya disyaki air ketum," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut menemui dua tong berwarna oren mengandungi 205 bungkus plastik lutsinar berikat getah dipercayai air ketum.

"Polis juga menjumpai satu periuk di dalamnya mengandungi daun ketum serta peralatan memasak antaranya dapur gas, tong gas, penapis air dan sudip kayu," katanya.

Menurutnya, jumlah rampasan dalam dua serbuan itu dianggarkan bernilai RM1,310 dan tiga suspek lelaki itu didapati negatif dadah serta tiada rekod jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Polis merampas bungkusan disyaki air ketum. FOTO DANIAL SAAD
Polis merampas bungkusan disyaki air ketum. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 8:07 PM