PLASTIK lutsinar berisi cecair disyaki ketum yang dirampas ketika serbuan dijalankan di sebuah rumah di Sungai Ara, di sini. FOTO Ihsan PDRM.
PLASTIK lutsinar berisi cecair disyaki ketum yang dirampas ketika serbuan dijalankan di sebuah rumah di Sungai Ara, di sini. FOTO Ihsan PDRM.
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Sebuah pondok tidak bernombor di Sungai Tiram, di sini, yang dijadikan 'port' minum air ketum sejak lima bulan lalu diserbu polis, semalam.

Susulan itu, tiga lelaki warga tempatan ditahan ketika serbuan yang dijalankan pada jam 5.35 petang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, serbuan terbabit dijalankan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya.

Katanya, pemeriksaan menemukan sebanyak 21 botol plastik dengan kapasiti 1.5liter setiap satu dan 20 bungkusan plastik lutsinar mengandungi cecair disyaki ketum.

"Kesemua yang ditahan berusia 22 hingga 63 tahun dan ada yang cuba melarikan diri ketika serbuan dijalankan.

"Pondok berkenaan sebelum ini dijadikan sebagai 'port' bagi kaki minum air ketum di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, polis turut melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Sungai Ara di sini, semalam kerana disyaki menjalankan aktiviti memproses dan mengedar air ketum.

Ketika serbuan, dua lelaki warga tempatan berusia 28 dan 30 tahun turut ditahan pasukan berkenaan selepas polis menemukan sebanyak 330 bungkusan plastik berisi cecair disyaki air ketum.

Turut ditemukan ialah peralatan bagi memproses air ketum dan kesemua barangan itu sudah dirampas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya lagi.

Sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah boleh salurkan kepada Bilik Gerakan IPD Barat Daya di talian 04-8664122, 0192238169 (Aplikasi WhatsApp) atau laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya menerusi Aplikasi Messenger.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 6:57 PM