BOT nelayan Vietnam yang dilucut hak dan ditenggelamkan di perairan Pualau Kapas untuk dijadikan tukun. FOTO Nazdy Harun
BOT nelayan Vietnam yang dilucut hak dan ditenggelamkan di perairan Pualau Kapas untuk dijadikan tukun. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Marang: Tiga bot nelayan Vietnam yang dilucut hak ditenggelamkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk dijadikan tukun tiruan di sekitar perairan Pulau Kapas dekat sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Terengganu Komander Maritim Mohd Firdaus Mohd Anuar berkata, tiga bot nelayan Vietnam ditahan pada 2022 dan 2023 dilupuskan secara ditenggelamkan untuk dijadikan tukun di perairan Pulau Kapas, dengan nilai pelupusan bernilai RM800,000.

Menurutnya, pada tahun ini APMM Terengganu berjaya melupuskan sebanyak sembilan bot nelayan asing Vietnam dengan anggaran nilai pelupusan berjumlah RM1.7 juta.

Katanya, bagi tujuan pelupusan APMM melaksanakan dua kaedah pelupusan iaitu secara musnah pecah dan tenggelam sebagai tukun.

"APMM Terengganu sudah melakukan pelupusan secara musnah pecah bagi empat buah bot nelayan asing pada 19 April lalu dengan nilai pelupusan sebanyak RM450,000.

"Dua buah bot lagi dilupuskan melalui kaedah ditenggelamkan sebagai tukun pada 30 April lalu dengan nilai pelupusan berjumlah RM400,000," katanya ketika ditemui pada Program Pelupusan Tiga Vesel Lucut Hak Maritim Malaysia di perairan Pulau Kapas hari ini.

Menurutnya, untuk rekod sebanyak 111 buah bot nelayan asing Vietnam sudah di lucut hak dan dilupuskan Maritim Malaysia Terengganu dari 2020 sehingga 13 Jun lalu dengan anggaran nilai perolehan asal bot sebanyak RM27.5 juta.

Katanya, APMM Terengganu masih mempunyai tujuh bot nelayan asing yang sudah mendapat kelulusan pelupusan dan akan dilupuskan pada tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya Malaysia sentiasa memastikan kesejahteraan dan keamanan perairan negara.

Justeru, komuniti maritim diminta untuk terus menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak APMM agar pencerobohan bot nelayan asing ini dapat di bendung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 12:58 PM