Zaid Salim


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu melupuskan sebanyak 153 bot nelayan Vietnam sejak 10 tahun lalu hingga kini.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim APMM, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, proses pelupusan dilakukan dengan menenggelamkan bot berkenaan di beberapa kawasan perairan di negara ini.

"Tindakan menenggelamkan bot ini juga adalah komitmen APMM dalam usaha mengekang pencerobohan dan kebanjiran nelayan asing khususnya nelayan Vietnam di perairan negara.

"Selain itu, ia secara tidak langsung menjadikan bot berkenaan sebagai tukun tiruan yang akan menggalakkan pembiakan hidupan laut dan pelancongan maritim," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan proses pelupusan dua bot nelayan Vietnam yang sudah dilucuthak di perairan Pulau Redang, Kuala Nerus, hari ini.

Menurutnya, pelupusan itu juga adalah isyarat ketegasan kerajaan dalam memerangi ancaman nelayan asing seterusnya memastikan kedaulatan perairan negara serta sumber perikanan terus terpelihara.

Katanya, dua bot yang dilupuskan itu ditahan kerana menceroboh dan mengaut hasil di perairan negara secara haram pada Mac dan Mei 2019 serta dilucuthak oleh mahkamah pada Ogos 2019.

SEBANYAK dua buah bot nelayan Vietnam yang dilucut hak dan ditenggelamkan di Perairan Pulau Redang untuk dijadikan tukun tiruan. FOTO Ghazali Kori
SEBANYAK dua buah bot nelayan Vietnam yang dilucut hak dan ditenggelamkan di Perairan Pulau Redang untuk dijadikan tukun tiruan. FOTO Ghazali Kori

"APMM sentiasa mengetatkan kawalan perairan bagi membanteras salah laku jenayah seperti penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing," katanya.

Menurutnya, progam itu mendapat kerjasama Jabatan Perikanan, Taman Laut dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) yang menjalankan kajian terperinci dalam usaha memperkayakan khazanah biodiversiti di perairan negara.

Sejak Januari lalu hingga kini, APMM Terengganu sudah melupuskan sebanyak enam bot nelayan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 4:09 PM