Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis berjaya melumpuhkan sindiket memproses dan mengedar dadah apabila Erimin 5 bernilai RM30.6 juta berjaya dirampas dalam serbuan ke atas sebuah banglo dua tingkat di Chemor, yang dijadikan makmal memproses bahan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din, berkata serbuan yang dijalankan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak jam 9.30 pagi Selasa lalu turut menahan dua lelaki masing-masing berumur 44 tahun yang dipercayai terbabit memproses dan mengedar dadah berkenaan.

Beliau berkata, dadah Erimin 5 yang dirampas meliputi dalam bentuk pil seberat 413.92 kilogram (kg), dan dalam bentuk serbuk (25.33kg), selain beberapa mesin dan peralatan yang dipercayai digunakan bagi memproses dan membungkus dadah itu dirampas.

Katanya, turut dirampas dua laras senjata api tiruan yang dipercayai digunakan bagi tujuan keselamatan diri.

"Jumlah dadah yang dirampas dianggar boleh digunakan seramai 2.2 juta penagih dengan modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah memproses dan membungkus dadah pil Erimin 5 untuk diedarkan bagi pasaran tempatan serta luar negeri Perak.

"Ketika serbuan dibuat dua suspek berkenaan ada di dalam rumah banglo yang disewa dengan harga RM2,800 sebulan itu. Kedua-dua mereka tidak bekerja dan senjata api tiruan yang dirampas dipercayai digunakan mereka bagi tujuan keselamatan diri ," katanya dalam sidang media sempena kejayaan rampasan itu di perkarangan IPK Perak, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Menurutnya lagi, sindiket dipercayai mula aktif sejak awal Mac lalu dan ujian saringan awal air kencing menunjukkan mereka positif dadah jenis amphetamine selain kedua-dua mereka juga didapati mempunyai rekod lampau kes jenayah dan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dengan kedua-dua suspek direman enam hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan.

Mohd Kamarudin berkata, operasi juga menyita sebuah kereta jenis Toyota Altis, motosikal Honda EX5, dua cincin, dan wang tunai RM1,624 yang disyaki diperoleh dari hasil jualan dadah dengan anggaran nilai keseluruhan barangan yang disita RM34,186.

"Hasil operasi ini, JSJN berjaya membongkar makmal haram memproses dadah Erimin 5 untuk pasaran tempatan dan juga di luar negeri Perak.

"Siasatan akan diteruskan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket ini, selain bagi mengenal pasti daripada mana mereka memperoleh bahan mentah bagi memproses dadah itu yang dipercayai dibekalkan oleh pihak lain kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 5:41 PM