Lima individu menerima rawatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Lima individu menerima rawatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 12 mangsa kemalangan bas persiaran di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, semalam, masih menerima rawatan di hospital dan pusat perubatan di daerah ini, Rompin, Segamat dan Melaka.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Nor Azman Yusof berkata, mangsa terdiri daripada lapan guru, dua kerani dan masing-masing seorang suri rumah serta pelajar.

"Ketika ini, lima individu menerima rawatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pusat perubatan swasta (tiga), Hospital Segamat, Johor (dua) dan masing-masing seorang di Hospital Melaka, Melaka dan Hospital Muadzam Shah, Rompin.

"Seramai 23 mangsa dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya kepada media, hari ini.

Dalam nahas jalan raya awal pagi semalam, empat maut manakala 35 cedera selepas bas yang dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras terbabit kemalangan.

Mangsa yang maut ialah Penolong Kanan SK Jeram, Masjid Tanah Melaka, Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas, Hadi Asyraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah, Hamzah Ahmad, 60, dan guru, Dahlia Ahmad, 52.

Bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan merempuh sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 1:21 PM