KEMALANGAN yang mengorbankan kakitangan RTM, Mohd Zubairi (gambar kecil) di KM 18, Jalan Lipis-Benta. FOTO Ihsan Bomba
KEMALANGAN yang mengorbankan kakitangan RTM, Mohd Zubairi (gambar kecil) di KM 18, Jalan Lipis-Benta. FOTO Ihsan Bomba
RoselanAb Malek


Lipis: Kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) antara dua lelaki yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di di Kilometer (KM) 18, Jalan Lipis-Benta, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari itu, kakitangan RTM terbabit, Mohd Zubairi Abdullah, 47, selain seorang pemandu lori, Chang Kai Meng, 58, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, nahas berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dipandu Mohd Zubairi terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan dan merempuh lori membawa muatan kelapa dipandu Chang.

Beliau berkata, sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux turut merempuh lori dipandu Chang dari arah belakang di laluan sama, namun pemandu kenderaan itu selamat.

"Lima penumpang menaiki Toyota Wish yang mempunyai pertalian persaudaraan cedera. Anak saudara Mohd Zubairi, Nadhratulnaimah Wan Mohammad berusia 27 tahun parah dan dirawat di Hospital Lipis.

"Kelindan lori iaitu remaja lelaki berusia 19 tahun cedera ringan, manakala lelaki berusia 26 tahun yang memandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, semua mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Lipis dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 7:31 PM