Siti Aminah Mohd Yusof


Nibong Tebal: Lebih 1,000 penyokong Perikatan Nasional (PN) menghangatkan suasana proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi di sini, hari ini.

Calon PN dari Pas, Abidin Ismail, 56, tiba pada 8.50 pagi diiringi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Pengerusi Muafakat Nasional Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

Penyokong PN kemudian dilihat berselawat dan berzikir beramai-ramai sementara menanti pengumuman pengesahan calon dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setakat semalam, SPR memaklumkan enam borang pencalonan sudah dijual, namun sehingga jam 9.50 pagi hanya dua calon menyerahkan borang pencalonan.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK Dun Sungai Bakap pada 2 Julai ini, manakala hari mengundi 6 Julai, dengan kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam 5 Julai.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail hadir menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi. FOTO MIKAIL ONG
Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail hadir menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi. FOTO MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 10:01 AM