Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini, hari ini, bagi melengkapkan siasatan berhubung kes pembunuhan kanak-kanak terbabit.

Peguam mereka, Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat dilihat tiba di mahkamah masing-masing pada jam 11.15 pagi dan 11.20 pagi.

Turut kelihatan berada di mahkamah adalah ahli keluarga kepada bapa kanak-kanak malang itu.

Fahmi ketika ditemui pemberita berkata, beliau baru dimaklumkan oleh pihak mahkamah untuk hadir bagi prosiding hari ini kira-kira jam 9 pagi tadi.

"Saya tidak boleh beri apa-apa kenyataan buat masa ini sehingga (prosiding) selesai. Saya dimaklumkan anak guam juga sudah sampai jam 9 pagi tadi," katanya.

Difahamkan, ibu bapa Zayn dibawa ke mahkamah bagi prosiding secara tertutup di hadapan Majistret.

Puluhan pengamal media yang hadir tidak dibenarkan mengikuti prosiding, sebaliknya hanya boleh membuat liputan perkembangan kes terbabit di lobi mahkamah.

Pada Isnin lalu, ibu kepada Zayn Rayyan dibawa ke kediaman mereka di Damansara Damai di sini, dipercayai bagi melakonkan semula kejadian.

Difahamkan, wanita itu dibawa ke kediaman dan lokasi kanak-kanak berkenaan ditemukan iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman.

Anggota polis turut dilihat membawa patung kanak-kanak dipercayai untuk lakonan berkenaan.

Terdahulu, polis menyambung reman ibu bapa kepada kanak-kanak autisme terbabit bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan terhadap kedua-dua mereka.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pasangan itu direman enam hari sehingga esok.

Pasangan suami isteri itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan di sekitar Puncak Alam, 31 Mei lalu.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai, kira-kira 10 malam.

AHLI keluarga Zayn Rayyan hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
AHLI keluarga Zayn Rayyan hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 11:35 AM