ABDUL Razak dan isterinya, Noraini ketika ditemui di Movenpick Hotel and Convention Centre di Sepang bersama anak mereka, Shasila Abdul Razak. FOTO Amir Abd Hamid
ABDUL Razak dan isterinya, Noraini ketika ditemui di Movenpick Hotel and Convention Centre di Sepang bersama anak mereka, Shasila Abdul Razak. FOTO Amir Abd Hamid
Amir Abd Hamid


Sepang: Terpaksa berkerusi roda bukan halangan buat peniaga mi kolok ini untuk melakukan sebaik mungkin bagi menyempurnakan ibadah haji di Tanah Suci.

Abdul Razak Abong, 68, yang sudah 25 tahun menjual mi kolok di Pending, Kuching, Sarawak berkata, dia dan isteri, Noraini Abdullah, 66, sangat bersyukur dipilih menjadi tetamu Allah menunaikan rukun Islam kelima selepas berkali-kali membuat rayuan.

Dia berkata, kakinya sudah menjadi lemah akibat masalah saraf sejak empat tahun lalu tetapi semangatnya membuak-buak apabila terpilih sebagai Duyufurrahman pada musim haji kali ini.

"Sudah 25 tahun menjual mi kolok selain ada juga menerima tempahan katering. Sebahagian rezeki itu saya membuat simpanan di Tabung Haji (TH) sebab berniat untuk menunaikan haji.

"Syukur kali ini saya dan isteri dipilih menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci Makkah. Saya doakan semoga dipermudahkan segala urusan ibadah kelak," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di Movenpick Hotel and Convention Centre melakukan urusan pelepasan haji sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Sementara itu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, Taiping, Perak, Aqeela Azhar, 28, berkata, walaupun terpaksa membawa laptop untuk mengikuti kelas atas talian Sarjana Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Universiti Sains Malaysia (USM) ketika di Tanah Suci, namun dia perlu cekal dan bersyukur sebab diberi rezeki menemani ibu dan bapanya menunaikan haji.

"Malam sebelum berlepas, hari ini pun saya tetap menyiapkan dan menghantar tugasan. Insya-Allah saya mahu menghabiskan pengajian sarjana tahun depan seperti yang dijadualkan.

"Untuk membahagikan masa antara keperluan pengajian sarjana dan ibadah di Tanah Suci, Insya-Allah saya berdoa dipermudahkan," katanya.

Aqeela menunaikan haji bersama bapanya, Dr Azhar Mohd Ali, 61, pesara pensyarah Institut Perguruan Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan ibunya, Roslina Baharom, 61, pesara guru SK Sultan Yussuf (AMG) Taiping.

Dia yang tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Expo Kamunting, Taiping berkata, menunaikan haji pada usia muda diharapkan sebagai peluang untuknya menjalani kehidupan lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 5:31 PM