GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Operasi bersepadu dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pantai Timur berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan dan ketirisan cukai bernilai hampir RM1.98 juta dalam tempoh sebulan.

Operasi Palang Timur dan Operasi Makmur III itu digerakkan JKDM Kelantan, Terengganu, Pahang dan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra) bulan lalu.

Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, 54 kes direkodkan dengan tumpuan operasi sepanjang pesisir jalan laut dari Tumpat sehingga ke Pulau Perhentian dan Pantai Merang di Terengganu.

"Rampasan terbesar adalah 17.8 tan daging babi sejuk beku di Tumpat dengan nilai barang termasuk cukai berjumlah RM452,858, manakala kes terbanyak (36 kes) adalah rampasan rokok seludup membabitkan 242,148 batang rokok dianggarkan RM213,948.03 dengan cukai.

"Lain-lain barang yang dirampas adalah 7,000 liter diesel, minuman keras, ayam sejuk beku, beras dan kenderaan klon dengan jumlah nilai dan cukai sebanyak RM261,153.52," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, operasi bersepadu yang dikendali pasukan Cobra pula berjaya menggagalkan cubaan pengedaran 2,728,720 batang rokok dengan nilai RM532,104.80 dalam lima kes berasingan di sekitar Seberang Perai dan Butterworth, Pulau Pinang.

Dalam kes daging babi sejuk beku, beliau berkata, penyeludup membawa masuk menerusi Sungai Golok sebelum ia dimuatkan ke dalam lori dipercayai untuk pasaran Pantai Barat.

"Sementara, rokok seludup di Pulau Pinang masuk melalui pintu masuk atau pelabuhan namun, pengikraran yang tidak betul untuk edaran pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata, kesemua barangan rampasan adalah tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan 11 kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 12:56 PM