Sebanyak 11.396 tan daging khinzir sejuk beku seludup yang dianggarkan bernilai RM227,920 dirampas dalam dua kenderaan di Kampung Teluk, Chabang Empat, Tumpat. FOTO IHSAN JKDM
Sebanyak 11.396 tan daging khinzir sejuk beku seludup yang dianggarkan bernilai RM227,920 dirampas dalam dua kenderaan di Kampung Teluk, Chabang Empat, Tumpat. FOTO IHSAN JKDM
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 11.396 tan daging babi sejuk beku seludup yang dianggarkan bernilai RM227,920.

Pengarah Kastam negeri Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan dibuat pada pagi 5 Mei lalu ketika Operasi Palang Timur yang dijalankan Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu.

"Pasukan kami menahan kontena serta lori tiga tan di Kampung Teluk, Chabang Empat, Tumpat dekat sini jam 5.40 pagi.

"Dua kenderaan itu memuatkan 11.396 tan daging babi sejuk beku yang bernilai RM227,920 manakala cukai pula dianggarkan sebanyak RM91,168.

"Modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk daging babi sejuk

beku itu dari Thailand dengan menggunakan bot atau sampan sebelum dimuatkan ke dalam kenderaan untuk dibawa ke Pantai Barat bagi pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Jamal berkata, dua lelaki warga tempatan yang juga pemandu kenderaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya lagi, daging babi sejuk beku diklasifikasi sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 4:17 PM