FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Farah Marshita Abdul Patah


JURUKIMPAL didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang, hari ini, selepas mengaku salah atas pertuduhan menyimpan empat pistol tiruan, raifal tiruan dan lapan bungkus peluru jenis ‘airsoft ball bearing’.

Majistret Mohamad Firdaus Saidina Ali turut memerintahkan Mohd Akbar Telani, 30, menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun, teman wanita tertuduh, Nur Atiqah Mohd Jalal, 29, yang bekerja sebagai kerani dan didakwa atas kesalahan sama, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Akbar dan Nur Atiqah didapati memiliki empat pistol tiruan, M4 tiruan dan lapan bungkus ‘airsoft ball bearing’ di sebuah rumah di Jalan Pandan Indah 5/20, Hulu Langat, jam 3.55 petang, pada 27 Oktober lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan dibaca bersama Seksyen Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mohd Akbar yang tidak diwakili peguam, memohon dijatuhi hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung perlu ibu dan dua anak.

“Saya tidak tahu pistol mainan ini adalah di bawah Akta Senjata,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana membabitkan kesalahan serius di mana pemilikan barang kes boleh menyumbang kepada jenayah lebih berat.

“Mohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Nur Atiqah diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 5:13 PM