Anggota imigresen Kedah membuat serbuan dan menahan seorang lelaki warga India dalam Ops Ikrar di Paya Besar,  kelmarin.
Anggota imigresen Kedah membuat serbuan dan menahan seorang lelaki warga India dalam Ops Ikrar di Paya Besar, kelmarin.
Oleh Nordiana Shafiee

Kulim: Seorang lelaki warga India bukan saja memasuki negara ini tanpa pas atau permit sah, malah turut mengambil kesempatan menjalankan kegiatan menghasilkan samsu haram.

Bagaimanapun, kelicikan lelaki berusia 50 tahun itu terbongkar apabila dia ditahan Jabatan Imigresen Kedah yang membuat serbuan di rumah tidak bernombor di Paya Besar, di sini, kelmarin.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Othman Hamzah berkata, dalam operasi bermula kira-kira jam 12 tengah hari diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Phon Ai Liap bersama 13 anggota Imigresen menyerbu empat lokasi berbeza membabitkan 13 warga asing pelbagai negara diperiksa.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, pihaknya mengesan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita pelbagai negara berusia 26 hingga 50 tahun didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Enam lelaki warga Bangladesh ditahan dalam serbuan di sebuah premis menjual pakaian diikuti penahanan seorang lelaki warga India di sebuah rumah dalam kebun kelapa.

“Pihak imigresen juga mencekup seorang lelaki warga Sri Lanka di sebuah kedai gunting rambut di Jalan Kilang Lama dan tangkapan seorang wanita warga Thailand di sebuah pusat urut Taman Bukit Kulim.

“Ketika serbuan dijalankan di rumah yang didiami lelaki warga India itu, kami mendapati suspek cuba mengaburi orang ramai dengan berselindung di sebalik kedai makan bagi menjalankan kegiatan menghasilkan samsu haram,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tujuh PATI tidak memiliki sebarang pas atau permit sah dan dua lagi masing-masing melakukan kesalahan tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas diberikan.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 lalu dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik, untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 7:13 AM