Dr Noor Azmi Ghazali
Dr Noor Azmi Ghazali
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan jumlah pakar perubatan sedia ada dapat mengimbangi populasi di negara ini, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata buat masa ini KKM mempunyai 6,012 pakar dengan 5,953 adalah pakar berstatus tetap manakala hanya 19 orang berstatus kontrak.

"Sudah tentulah negara memerlukan lebih banyak pakar, untuk melihat sama ada angka-angka ini boleh mengimbangi populasi di negara ini, KKM sudah tentu bersikap proaktif.

"Sebagai contoh kita menambahkan slot Hadiah Latihan Persekutuan kepada (pegawai perubatan) untuk mengikuti program kepakaran. Sebanyak 1,300 slot disediakan pada 2021, (kita juga) menambah (program latihan kepakaran) Parallel Pathway," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Mohd Apandi Mohamad yang ingin tahu sama ada jumlah pakar sedia ada mencukupi berikutan terdapat pakar-pakar yang meletak jawatan untuk membuka klinik sendiri atau memasuki sektor swasta.

Selain itu, Dr Noor Azmi berkata, KKM turut melantik semula pakar-pakar yang telah bersara dan menjemput pakar dari hospital swasta untuk membantu, selain memberi peluang kepada pegawai kontrak untuk menjadi pakar berstatus tetap sekiranya ada kekosongan perjawatan.

Menjawab soalan asal Mohd Apandi berhubung statistik pegawai perubatan berstatus tetap dan kontrak yang dibenarkan melanjutkan pengajian di peringkat pakar setiap tahun bermula 2015, beliau berkata KKM menawarkan dua laluan program kepakaran iaitu Sarjana Kepakaran Awam dengan kerjasama universiti awam dan program kepakaran melalui Parallel Pathway.

Beliau berkata seramai 7,357 pegawai berstatus tetap telah mengikuti Program Kepakaran Sarjana Perubatan manakala 3,615 pegawai mengikuti program Parallel Pathway dari 2015 hingga kini.

"Berhubung statistik pegawai perubatan berstatus kontrak yang melanjutkan kepakaran di bawah program Parallel Pathway jumlahnya adalah seramai 504 orang," katanya menambah pengambilan untuk kedua-dua program itu meningkat setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 1:12 PM