PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed pada sidang media khas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Menara KPJ. FOTO Eizairi Shamsudin
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed pada sidang media khas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Menara KPJ. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Suami isteri disyaki dalang sindiket yang menggunakan imej doktor pakar mata bergelar Datuk untuk mempromosi produk kesihatan palsu diberkas dalam empat serbuan berasingan sekitar Shah Alam, Selangor, pada 21 dan 22 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pasangan itu antara empat individu diberkas dalam serbuan pertama manakala tiga pekerja warga asing ditahan dalam serbuan kedua.

Menurutnya, pasangan itu disyaki menyunting gambar dan imej tanpa kebenaran doktor pakar berkenaan untuk diletakkan pada iklan produk tiruan terbabit.

"Sindiket ini didakwa menggunakan gambar dan video mangsa yang juga juga seorang pakar perubatan terkenal bagi mempromosikan produk kesihatan keluaran mereka.

"Perkara ini hanya diketahui mangsa apabila beliau dihubungi oleh beberapa individu lain bagi mendapatkan pengesahan berkenaan kesahihan produk yang diiklankan.

"Mangsa seterusnya melihat iklan dimaksudkan dan mengesahkan bahawa produk kesihatan itu tiada kaitan dengan syarikatnya," katanya pada sidang media di Pejabat JSJN, Menara KPJ, di sini, hari ini.

Menurutnya, keseluruhannya seramai empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 38 tahun ditahan terdiri daripada pegawai pemasaran, ahli perniagaan yang menjual produk dan seorang pekerja asing warga Bangladesh serta wanita Vietnam.

Katanya, polis merampas 18 kotak produk rawatan mata pelbagai jenama, kotak produk mata yang kosong, monitor, komputer riba, dan telefon pintar.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dalam pembelian produk kesihatan secara dalam talian.

"Sindiket penipuan semakin berani menggunakan gambar serta video individu terkenal bagi memberi gambaran bahawa produk mereka mempunyai kaitan dengan individu yang dipaparkan.

"Lebih malang, produk yang dipasarkan adalah palsu dan penggunaan produk itu dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan pengguna," katanya.

Ramli berkata, empat suspek yang ditahan dalam serbuan pertama sudah dibebaskan dengan jaminan polis manakala dua warga asing direman dua hari dan seorang lagi suspek warga tempatan tamat reman hari ini.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan 511 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 2:42 PM