GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Remaja 16 tahun antara lima individu ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis di Genting Highlands, Pahang kelmarin yang disyaki dijadikan markas sindiket penipuan judi dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semua suspek adalah warga tempatan berusia lingkungan 16 hingga 30 tahun.

"Sindiket ini didapati mencipta akaun-akaun palsu menggunakan aplikasi Tantan, Bumble Dating, CMB Dating dan Tinder untuk tujuan berkenalan dan mencari mangsa sebelum menawarkan permainan judi dalam talian.

"Sindiket ini menyasarkan mangsa warga tempatan dan menawarkan permainan judi palsu melalui laman sesawang https://luxewin.co/," katanya pada sidang media di pejabat JSJK di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah dengan memberikan kemenangan mudah dan membayar pulangan seperti yang dijanjikan untuk menjerat mangsa supaya membuat pertaruhan lebih besar.

Katanya, selepas bermain dengan nilai taruhan yang besar mangsa kemudiannya akan diminta untuk membuat bayaran tambahan kononnya bagi menuntut hadiah kemenangan mereka.

"Permohonan reman terhadap empat suspek dibenarkan selama tiga hari sehingga esok manakala seorang lagi direman dua hari bermula semalam sehingga hari ini.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, "katannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 2:43 PM