HARTINI Zainudin. FOTO Bernama
HARTINI Zainudin. FOTO Bernama
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Usaha Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang ditubuhkan sejak lebih setahun lalu bukan sahaja dilihat membantu kerajaan dalam mencapai pemulihan ekonomi negara, malah membabitkan keselamatan sosial dan kebajikan golongan rentan.

Misi utama MPN bagi memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif untuk kesejahteraan rakyat Malaysia juga berada di landasan yang tepat.

Ini kerana PPN adalah satu strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19 selepas mengambil kira nilai ambang seperti kadar vaksinasi Covid-19, bilangan kes jangkitan harian serta keupayaan sistem kesihatan awam.

Semua negeri juga sudah beralih ke fasa 4 di bawah PPN secara teratur dan selamat pada 3 Januari 2022.

Menyentuh mengenai aspek kebajikan sosial, hasil syor mesyuarat MPN pada 2021, melalui usaha sama Yayasan Hasanah dengan Yayasan Chow Kit lebih 15,000 isi rumah diberi bantuan khususnya makanan serta menyalurkan pelbagai jenis bantuan kecemasan kepada golongan memerlukan.

Ahli MPN yang juga aktivis kanak-kanak, Datuk Dr Hartini Zainuddin berkata, tanpa libaturus MPN sudah pasti usaha memberi bantuan dengan skala besar dan kadar segera kepada golongan memerlukan terutama ketika pandemik tidak dapat dilaksanakan sebaiknya.

Menurutnya, usaha itu dengan bantuan empat badan bukan kerajaan (NGO) berjaya membantu 7,737 isi rumah melalui fasa satu dan 8,000 lagi melalui fasa dua yang kini sedang berjalan.

Beliau berkata, inisiatif itu dijayakan bersama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Bantu membabitkan gabungan 17 NGO di Sabah, Yayasan Sejahtera dan Zero Hunger.

"Semasa awal pandemik melanda negara (Mac 2020) dan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, terlalu ramai rakyat yang terkesan terutama golongan asnaf dan miskin terpaksa meminta bantuan dengan kami.

"Ramai golongan asnaf dan miskin tiada makanan langsung, malah saya menerima ratusan mesej setiap hari yang mengadu nasib mereka.

"Lebih sedih, ada yang tidak dapat menyusukan anak kerana ibu tiada makanan, malah kanak-kanak juga semakin lemah tanpa susu dan makanan.

"Bayangkan bayi yang lahir pada 2020 ketika pandemik tidak mendapatkan makanan bernutrisi dalam tempoh lebih dua tahun hingga kini.

"Bukan sahaja golongan B40, bahkan mereka di kategori pertengahan M40 juga terpaksa merayu meminta bantuan makanan.

"Suasana ketika itu terlalu sedih dan jika hanya bergantung harap dengan NGO semata-mata sudah tentu kami tidak dapat melaksanakan bantuan menyeluruh di seluruh negara.

"Apabila dijemput dalam MPN, ia adalah peluang untuk saya bergabung dengan wakil kerajaan, NGO dan badan korporat bagi membantu mereka di luar sana," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan juga meluluskan sebanyak RM2 juta bagi pelaksanaan bantuan kecemasan itu, hasil daripada syor diutarakan MPN.

"Kami turut mewujudkan pendanaan dana orang ramai (crowdfunding) dan rakyat Malaysia yang prihatin juga ingin bersama membantu ketika itu dan sehingga sekarang saya masih lagi menerima beratus pesanan mesej yang meminta bantuan.

"MPN memandang serius situasi kebajikan golongan rentan dan mereka antara paling terjejas akibat pandemik Covid-19 dan kini berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.

"Impak pandemik serta inflasi juga menjejaskan mereka yang dahulu berada pada kategori M40 dan kini tergolong di kategori B60.

"Sekiranya tiada tindakan segera diambil, ini mampu menjejaskan produktiviti negara serta memburukkan lagi jurang pendapatan negara," katanya.

Selain itu, MPN kini memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara dan sedang menghalusi Pelan Pemulihan Negara 2.0 (PPN2.0) bagi memastikan ekonomi negara kembali pulih terutamanya sektor paling terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Untuk memastikan rakyat Malaysia yang memerlukan dapat dibantu bukan sahaja membabitkan makanan, tetapi juga peluang membangunkan ekonomi mereka, saya akan membentangkan kepada mesyuarat MPN yang akan datang mengenai cadangan lanjutan bagi mengukuhkan inisiatif-inisiatif keselamatan sosial dan kebajikan golongan rentan.

"Kita tidak hanya boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata kerana semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing kerana masih ramai di luar sana yang memerlukan bantuan.

"Ada banyak juga memorandum yang saya sendiri usulkan kepada MPN dibawa kepada kerajaan dan diluluskan serta dilaksanakan.

"Kami akan terus memperjuangkan nasib golongan rentan dan terkesan ini untuk kesejahteraan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 6:20 PM