Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pertubuhan Ihsan Johor sedang membuat persiapan terakhir bertolak ke Islamabad, Pakistan bagi membantu negara itu yang berdepan kesan bencana banjir paling buruk sejak sedekad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farrah Faridah Baptist berkata, empat sukarelawan termasuk beliau akan bertolak ke Islamabad bermula Khamis ini hingga 13 Oktober depan bagi menyalurkan bantuan diperlukan di lokasi terjejas.

"Kesan kemusnahan dahsyat bencana banjir Pakistan menyebabkan jutaan rakyat kehilangan tempat tinggal manakala kebanyakan infrastruktur seperti jalan raya terputus dan rosak teruk.

"Selepas melakukan kajian serta semakan dengan NGO di Islamabad selain perbincangan dengan ahli lembaga pengarah, Ihsan Johor memutuskan untuk membantu menghulurkan bantuan terutama barangan yang diperlukan rakyat Pakistan.

"Kami akan membawa tiga tan barangan hasil sumbangan orang ramai dan syarikat korporat membabitkan kit kebersihan, ubatan, susu dan lampin bayi, 200 kilogram (kg) pakaian sejuk, sejadah dan tangki air minuman.

"Selain itu, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) turut menyumbangkan 120 khemah kubik bagi membantu mangsa banjir kehilangan tempat tinggal," katanya ketika menunjukkan persiapan dibuat di Markas Pertubuhan Ihsan Johor.

Hujan monsun yang bermula Jun lalu menyebabkan banjir besar melanda Pakistan.

Bencana itu menenggelamkan sebahagian besar tanaman penting dan mengakibatkan lebih satu juta kediaman sama ada musnah atau rosak teruk.

FARRAH Faridah (tiga dari kiri) dan sukarelawan bergambar bersama barang bantuan Misi Ihsan Kemanusiaan Pakistan 2022 di Markas Pertubuhan Ihsan Johor.  FOTO Nur Aisyah Mazalan
FARRAH Faridah (tiga dari kiri) dan sukarelawan bergambar bersama barang bantuan Misi Ihsan Kemanusiaan Pakistan 2022 di Markas Pertubuhan Ihsan Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dilaporkan menyifatkan banjir kali ini terburuk dalam sejarah dan menambah, peruntukan sekurang-kurangnya AS$10 bilion (RM44.6 bilion) diperlukan untuk membaiki infrastruktur rosak di seluruh negara itu.

Dalam pada itu, Farrah Faridah berkata, pertubuhan itu bekerjasama rapat dengan NGO di Pakistan yang akan membantu mengatur gerak dari segi logistik untuk menghantar bantuan kepada penduduk terjejas.

Katanya, pertubuhan itu akan dibawa ke sebuah negeri di utara dan selatan Pakistan bagi menghantar bantuan selain menyalurkan bantuan diperlukan penduduk terjejas.

"Kami dimaklumkan penduduk amat memerlukan khemah kanvas berikutan jutaan rakyat negara itu kehilangan tempat tinggal dan kini tidur di kawasan lapang berhampiran tapak rumah.

"Walaupun sumbangan yang dibawa tidak dapat membantu kesemua rakyat Pakistan, namun diharapkan ia meredakan bebanan penduduk terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 1:14 PM