Sukarelawan CILTM menjengah ke beberapa lokasi gelandangan, malam tadi. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Sukarelawan CILTM menjengah ke beberapa lokasi gelandangan, malam tadi. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Bawa kemudahan kepada gelandangan dan golongan miskin bandar.

Inisiatif itu diambil badan bukan kerajaan (NGO), The Chartered Institute of Logistics and Transport di Malaysia (CILTM) yang memberikan sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan di ibu negara tengah malam tadi.

Ketua Pentadbir Sekretariat CILTM Sharifah Salwa Abu Bakar berkata, pihaknya terpanggil untuk menyumbang sesuatu membantu gelandangan terbabit.

Menurutnya, ia adalah tanggungjawab bersama dan tidak terletak sepenuhnya kepada pihak berwajib semata-mata.

"Sebenarnya dalam kita melaksanakan program seperti ini terdapat juga elemen logistik dan rantaian bekalan, seperti penyediaan bahan serta barangan yang disampaikan kepada gelandangan dan miskin bandar memandangkan mereka berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan.

"CILTM bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana badan untuk meneruskan usaha murni ini," katanya dalam misi yang turut disertai satu lagi NGO, FFG.

Sementara itu, Penolong Bendahari CILTM Dr Othman Ibrahim berkata, program berkenaan tercetus daripada rasa prihatin kepada mereka yang memerlukan sokongan dari segi material kerana terjejas akibat pandemik.

Katanya, banyak perkara tidak dijangkakan akibat Covid-19 akibat daripada ekonomi yang terjejas dan perubahan di dalam hidup.

"Ini termasuk gelandangan yang sudah pasti tidak mempunyai sumber kerana sebelum ini ramai yang memberi bantuan.

"Kita juga perhatikan daripada sudut ketidaksamarataan, jadi kita tampil dengan inisiatif daripada kesedaran betapa masih ramai yang memerlukan sumbangan," katanya.

Bagi aktivis FFG Mejar (B) Mohd Azizan Zainal Abidin berkata, kelonggaran diberikan kerajaan terutama peralihan Fasa 3 memberi ruang kepada NGO untuk menyantuni gelandangan.

Menurutnya, menerusi pemantauan yang dilakukan, masih banyak miskin bandar yang perlu disantuni bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

"FFG terapkan adab dalam memberi. Kita bagi makanan, pakaian terpakai dan yang lebih penting berkongsi kasih sayang dengan mereka.

"Perlu diketahui ada bezanya gelandangan dan miskin bandar, namun mereka adalah komuniti kita. Sejak sembilan tahun lalu, kita bekerjasama sudah 157 kali untuk membantu mereka yang perlu bantuan," katanya.

Katanya, program sama akan diteruskan pada masa depan untuk memberikan kesedaran kepada semua pihak untuk berkongsi rezeki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 4:41 PM