ORANG ramai mengagihkan makanan di kem sementara untuk orang yang kehilangan tempat tinggal di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
ORANG ramai mengagihkan makanan di kem sementara untuk orang yang kehilangan tempat tinggal di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menjangkakan krisis kebuluran berlaku di Gaza dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi jika sempadan tidak dibuka.

Menurut Muhammad Nadir, ia berikutan keadaan di Gaza yang kritikal susulan kekejaman rejim zionis terhadap Palestin.

Justeru katanya, usaha terus dilakukan bagi membantu rakyat Palestin menerusi jalinan kerjasama dengan syarikat pembekal makanan tempatan.

"Kita ada hubungan baik dengan syarikat pembekal makanan seperti tepung gandum dan pemilik ladang ayam di sana.

"Jadi, kita sudah berbincang dengan mereka untuk membuat pembayaran selepas tamat perang. Ini bermakna habis perang baru bayar duit mereka yang kita hutang.

"Alhamdulillah, bantuan masih diteruskan dengan RM4 juta disalurkan, majoritinya bantuan makanan dan pek siap dimasak cuma jumlahnya sangat sedikit berbanding 800,000 orang yang memerlukan makanan setiap hari," katanya dalam sesi siaran langsung Gaza Bangkit di Facebook (Fb), semalam.

KEPULAN asap kelihatan selepas serangan tentera Israel ke atas sasaran di utara Gaza. FOTO AFP
KEPULAN asap kelihatan selepas serangan tentera Israel ke atas sasaran di utara Gaza. FOTO AFP

Dalam sesi siaran langsung berkenaan, Muhammad Nadir turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus menzahirkan sokongan kepada Palestin dalam apa jua cara sekalipun mengikut kemampuan masing-masing.

"Sekiranya Israel dapat tembus jalan darat, ia akan beri mereka harapan untuk tawan dan korbankan lebih ramai nyawa tak berdosa.

"Jika (Israel) gagal masuk ke tanah Palestin, mereka akan berundur dan terpaksa mengadakan perbincangan gencatan senjata. Jadi, kita tak boleh berlengah dan perlu lakukan apa saja cara untuk menyumbang mahupun dalam bentuk perkongsian dalam usaha membebaskan Palestin.

"Pembebasan Masjid Al-Aqsa boleh berlaku selagi kita bernyawa dan bernafas jadi usahalah sekuat mungkin," katanya.

Mengulas keadaan keluarganya di Palestin, Muhammad Nadir berkata, dia sudah dapat berhubung dengan isterinya semalam selepas dua hari terputus hubungan.

"Alhamdulillah, keluarga saya dalam keadaan baik, isteri dan anak juga baik.

"Mereka masih hidup, masih boleh makan dan membaca al-Quran walaupun terpaksa berpindah rumah ke rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 7:10 AM