BENJAMIN Netanyahu. FOTO fail AFP
BENJAMIN Netanyahu. FOTO fail AFP
AP

Baitulmaqdis: Sebaik menjawat semula jawatan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar mahu menjalinkan hubungan diplomatik secara penuh dengan Arab Saudi dalam usaha berdamai dengan rakyat Palestin.

Netanyahu berkata, beliau terbuka untuk memulakan semula rundingan damai dengan Palestin.

Katanya, beliau mahu memperluaskan Perjanjian Abraham, perjanjian normalisasi yang dicapai dengan empat negara Arab Saudi pada 2020.

"Ia akan menjadi batu lompatan untuk keamanan keseluruhan antara Israel dan dunia Arab.

"Akhirnya, perdamaian antara Palestin-Israel.

"Jadi terpulang kepada kepimpinan Arab Saudi jika mereka mahu mengambil bahagian dalam usaha ini," katanya dalam sesi temu bual bersama saluran berita Arab Saudi, Al-Arabiya.

Kenyataan beliau itu dilihat bertujuan meredakan kebimbangan mengenai susunan sayap kanan kerajaan dibentuk Netanyahu.

Beliau mencapai beberapa siri perjanjian gabungan dengan pihak yang menyokong tindakan lebih tegas terhadap pejuang Palestin termasuk meningkatkan pembinaan penempatan di Tebing Barat yang diduduki dan menolak sekeras-kerasnya idea negara Palestin yang merdeka.

Netanyahu memberitahu saluran itu, beliau akan menetapkan dasar secara keseluruhan.

Israel sudah lama mempunyai hubungan di belakang tabir dengan Arab Saudi kerana permusuhan mereka bersama Iran.

Namun, Arab Saudi berpendirian, hubungan diplomatik penuh hanya akan berlaku apabila negara Palestin merdeka ditubuhkan di wilayah yang diduduki Israel dalam perang Timur Tengah 1967.

Netanyahu berkata, beliau akan mencari perdamaian dengan Palestin, mungkin melalui rundingan bijaksana, namun menjelaskan ia akan gagal memenuhi tuntutan Palestin.

Selama 12 tahun Netanyahu berkhidmat sebagai perdana menteri, rundingan damai itu terhenti.

Rakyat Palestin melihat Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza, wilayah yang ditawan Israel dalam perang 1967 sebagai negara masa depan.

Komuniti antarabangsa melihat penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya cara yang realistik untuk menyelesaikan konflik berabad itu.

Dalam pada itu, Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas enggan mengulas kenyataan Netanyahu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 11:46 AM