Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lima ahli keluarga suspek kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka ditahan mengikut Sosma selepas tempoh reman tamat hari ini.

"Di bawah Sosma ini, Cawangan Khas Bukit Aman akan menjalankan siasatan manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih juga akan meneruskan siasatan berkait Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.

"Jadi siasatan bersekali, tiada masalah," katanya pada sidang media Menara KPJ, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan berbeza berkait suspek dan pembabitan dalam Jemaah Islamiyah (JI), Razarudin sekali lagi menegaskan bahawa suspek langsung tiada jaringan dengan JI, walaupun bapanya pada asalnya dalam data polis adalah anggota JI.

"Apa yang telah pun disebut oleh saya sebelum ini disyaki bapa dia adalah anggota JI, itu memang ada dalam data dan rekod kita. Saya kena maklumkan begitu untuk tahu siasatan kita ke arah mana pada awalnya.

"Tetapi apabila kita memanggil saksi kejiranan, kita dapati bahawa keluarga ini memang 'isolated' (terasing), keluarga tak campur orang, anak perempuan yang terakhir tidak bersekolah, anak yang ditembak mati (suspek) sekolah sampai darjah empat, abang dia saja sampai tingkatan lima, seorang lagi kakak sampai darjah enam," katanya.

Beliau berkata, apabila pihaknya memanggil 47 saksi, daripada data polis, dapati bahawa suspek langsung tiada jaringan dengan JI, walaupun bapanya pada asalnya dalam data adalah anggota JI.

"Saya kena cakap benda yang betul, tapi orang spin (pusing)," katanya.

Sebelum ini tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang turut direman sama dibebaskan tanpa syarat, Rabu lalu.

Dalam kejadian serangan pada jam 2.54 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis berusia 22 dan 24 tahun serta suspek berusia 21 tahun maut, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 12:47 PM