LOKASI kejadian dua anggota polis ditembak, seorang cedera dan seorang suspek ditembak di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
LOKASI kejadian dua anggota polis ditembak, seorang cedera dan seorang suspek ditembak di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan tempoh masa lebih lama untuk menyiasat dengan teliti lima ahli keluarga suspek serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram, di sini, 17 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata itu adalah justifikasi penahanan lima ahli keluarga suspek berkenaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), mulai Jumaat lalu.

Berkata, perbuatan membunuh anggota PDRM adalah satu perbuatan yang sangat serius dan memerlukan siasatan rapi terutama motif serangan berdarah itu.

"Apatah lagi Singapura mengambil langkah memperketatkan kawalan keselamatan pintu masuk republik berkenaan susulan insiden itu, jadi kita harus peka dan sensitif mengenainya.

"Beberapa akta yang kita guna pakai misalnya pada peringkat awal penahanan, kita guna kanun keseksaan dan tempoh tahanan (mengikut akta itu) belum dapat menyelesaikan semua urusan (siasatan).

"Berdasarkan magnitud kes ini, pasukan polis memerlukan tempoh yang lama untuk menyempurnakan siasatan bagi memastikan isu keselamatan dan keamanan rakyat terjamin," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor, di BSI, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Terdahulu, Saifuddin ditanya justifikasi penahanan lima ahli keluarga suspek kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram mengikut Sosma.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, lima keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram ditahan mengikut Sosma, selepas tempoh reman tamat 24 Mei lalu.

Di bawah Sosma, Cawangan Khas Bukit Aman akan menjalankan siasatan manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga akan meneruskan siasatan berkait Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.

Pada 17 Mei lalu, tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) turut dilaporkan ditahan reman selepas disyaki mempunyai kaitan terhadap serangan itu pada hari yang sama, selepas serangan itu.

Bagaimanapun, dua penuntut IPT yang dibebaskan tanpa syarat, Rabu lalu.

Dalam kejadian serangan pada 2.54 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala suspek berusia 21 tahun mati ditembak.

Tragedi itu turut mencederakan Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, terkena tembakan pada bahu dan pinggul.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 1:59 PM