Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Lima ahli keluarga lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di sini, pada 17 Mei lalu, tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, jam 9 pagi ini.

Kelima-lima mereka itu dikawal ketat hampir 30 anggota polis.

Mereka difahamkan akan menghadapi beberapa pertuduhan termasuk Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, sekitar Kompleks Mahkamah Tinggi Johor Bahru dilihat turut dikawal ketat puluhan anggota polis sejak jam 7 pagi tadi.

Pada 24 Mei lalu, semua lima ahli keluarga lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, itu dilaporkan ditahan dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), selepas tempoh reman mereka berakhir pada hari yang sama.

Semua mereka terdiri daripada ibu, bapa, abang, kakak dan adik kepada penyerang berusia 21 tahun akan ditahan di bawah SOSMA selama 28 hari.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata siasatan awal mendedahkan keluarga itu membawa fahaman radikal.

Pada 17 Mei lalu, tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) turut dilaporkan ditahan reman selepas disyaki mempunyai kaitan terhadap serangan itu pada hari yang sama, selepas serangan itu.

Bagaimanapun, dua penuntut IPT itu dibebaskan tanpa syarat selepas siasatan selesai, bulan lalu.

Dalam kejadian serangan pada pukul 2.54 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala suspek berusia 21 tahun itu mati ditembak.

Tragedi itu turut mencederakan Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, yang terkena tembakan pada bahu dan pinggul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 9:20 AM