RAZARUDIN pada sidang media selepas majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua JSJN Perak di Mess Pegawai Kanan PDRM Perak hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari
RAZARUDIN pada sidang media selepas majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua JSJN Perak di Mess Pegawai Kanan PDRM Perak hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


POLIS akan melakukan siasatan dalaman berhubung kes samun bersenjata di sebuah hotel di Menglembu, Ipoh dengan kehilangan sepucuk pistol milik anggota polis pada 24 Januari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, ketika ini polis masih lagi menyiasat kaitan kehilangan pistol jenis Walter P99 milik anggota polis dengan kes samun membabitkan dua suspek.

“Pada 15 Januari lalu, polis menerima laporan sepucuk pistol tercicir oleh anggota yang sedang menjalankan tugasan di Tanjung Rambutan.

“Kita akan melakukan siasatan dalaman di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perak,” katanya ketika ditemui pada majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di Mess Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak hari ini.

Razarudin berkata, polis menerima panggilan berkaitan kes samun itu pada 4.10 pagi dan suspek berjaya ditangkap dalam tempoh tidak sampai sejam.

Katanya, kedua-dua suspek masing-masing berusia 20 dan 27 tahun sudah didakwa di mahkamah pada 6 Februari lalu mengikut Seksyen 392 dan 411 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Suspek berusia 20 tahun mempunyai satu rekod jenayah manakala suspek berumur 27 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan dadah,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Razarudin menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak yang baharu iaitu Asisten Komisioner Lee King Chuan.

Lee menggantikan Senior Asisten Komisioner V R Ravi Chandran yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/ Perhubungan Antarabangsa) JSJN Bukit Aman berkuat kuasa hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 1:12 PM