CHAMIL dan Mustapa (tengah, atas) bersama wakil penaja sumbangan Malam Wartawan Malaysia 2016.
CHAMIL dan Mustapa (tengah, atas) bersama wakil penaja sumbangan Malam Wartawan Malaysia 2016.
Iskandar Shah Mohamed


Kuala Lumpur: Bagi mengiktiraf portal berita dan radio, anugerah bagi kategori khas itu julung kali diperkenalkan untuk Hadiah Kewartawanan Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2015 (HKM MPI) pada 20 Mei ini.

Ia merangkumi lima kategori baru iaitu Laporan Portal Terbaik, Laporan Media Terbaik, Reka Bentuk Halaman Utama Terbaik, Infografik Terbaik dan Editorial Kartun Terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr Chamil Wariya berkata, anugerah itu diperkenalkan selepas pihaknya mengambil kira rungutan dan permintaan daripada organisasi media portal serta radio tempatan.

"Berikutan itu, jawatankuasa khas induk bersetuju memperkenalkan kategori berkenaan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 18 kategori dipertandingkan kali ini dengan membabitkan sebanyak 438 penyertaan media.

"Selain trofi eksklusif dan wang tunai RM30,000 untuk Anugerah Kajai, setiap kategori akan mempunyai seorang pemenang utama dan dua pemenang hadiah saguhati kecuali beberapa anugerah perdana lain," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan sempena Malam Wartawan Malaysia 2016 di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro yang juga Pengerusi Bersama acara berprestij itu, Datuk Mustapa Omar.

Selain Petronas selaku penaja utama, sebanyak 31 syarikat turut memberi sumbangan antaranya Ambank Group Berhad, Celcom Axiata Berhad dan Johor Corporation.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 12:52 PM