Muhammad Zaki didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan kesan pengambilan vaksin melalui Facebook miliknya, April lepas. FOTO BERNAMA
Muhammad Zaki didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan kesan pengambilan vaksin melalui Facebook miliknya, April lepas. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas penyelia kilang yang sebelum ini didakwa menyebar berita palsu mengenai kematian seorang anggota polis akibat suntikan vaksin Covid-19, hari ini dihadapkan sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik berkaitan kesan pengambilan vaksin melalui Facebook miliknya, April lalu.

Muhammad Zaki Omar, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Muhammad Zaki didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook menggunakan nama profil 'Muhammad Zaki Omar' pada jam 8.44 malam, 4 April lalu.

Hantaran itu kemudian dibaca pada jam 11.30 pagi di Kementerian Kesihatan (KKM) Putrajaya, 5 April lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin namun peguam Asiah Abd Jalil, yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan perlu menanggung isteri serta lima anak.

"Tertuduh sebelum ini bekerja sebagai penyelia kilang di Singapura dengan pendapatan RM10,000 sebulan. Baru-baru ini, dia telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar di bawah Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dan diikat jamin RM10,000 serta pasportnya juga telah diserahkan kepada mahkamah berkenaan," kata Asiah.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Zaki diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Pada 2 Ogos lalu, Muhammad Zaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan menyebar berita palsu berhubung kematian seorang anggota polis akibat suntikan vaksin Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 3:19 PM