UiTM Shah Alam.
UiTM Shah Alam.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Universiti Teknologi MARA (UiTM) kekal dengan dasar pengambilan pelajar sedia ada serta fokus memperkasa Bumiputera.

Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, tiada sebarang perbincangan atau cadangan mengenai perubahan dasar ini dalam mana-mana mesyuarat Senat UiTM mahupun Mesyuarat Eksekutif Universiti.

"UiTM ingin menjelaskan berhubung isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera yang dibangkitkan baru-baru ini. UiTM menegaskan bahawa dasar pengambilan pelajar sedia ada akan dikekalkan.

"Saya selaku Naib Canselor UiTM dan Pengerusi Senat, ingin menyatakan bahawa tiada sebarang perbincangan atau cadangan mengenai perubahan dasar ini dalam mana-mana mesyuarat Senat UiTM mahupun Mesyuarat Eksekutif Universiti.

"Pendirian ini adalah sejajar dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, yang turut menekankan komitmen kerajaan terhadap objektif asal penubuhan UiTM," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, UiTM akan terus berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 yang menyatakan UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Kami akan terus menjalankan misi dan visi institusi ini untuk memperkasakan Bumiputera.

"Saya menyeru kepada semua mahasiswa untuk fokus kepada pelajaran dan menggunakan masa di universiti dengan bijak bagi mempersiapkan diri menghadapi masa depan yang mencabar.

"Inilah perjuangan hakiki seorang mahasiswa untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat, serta membuktikan cinta kepada agama, bangsa, dan tanah air," katanya.

Menurutnya, UiTM juga komited untuk terus menjadi institusi pendidikan tinggi yang memartabatkan Bumiputera melalui peluang pendidikan berkualiti, sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 7:49 AM