Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menghalang mana-mana pihak termasuk ahli politik daripada memasuki dan menganjurkan program di universiti awam negara ini.

Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan perkara itu tertakluk kepada kebenaran pengurusan universiti berkaitan.

"Dari segi kementerian, kita memang tiada halangan untuk mana-mana pihak untuk memasuki universiti.

"Namun sebagaimana kita sedia maklum, untuk memasuki kawasan universiti ini perlu memaklumkan kepada pihak pengurusan universiti bagi mendapatkan kebenaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Johor, di Bangunan Perhubungan UMNO, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan.

MOHAMED Khaled Nordin. FOTO Arkib NSTP.
MOHAMED Khaled Nordin. FOTO Arkib NSTP.

Khamis lalu, Dialog antara Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang dijadualkan berlangsung malam itu gagal selepas beliau dihalang memasuki pagar universiti berkenaan.

Ia berikutan pihak pengurusan memberikan alasan bagi menjaga keharmonian universiti.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar dilaporkan menyifatkan alasan UiTM tidak meluluskan sesi dialog dengan penuntut pada Khamis demi mengekalkan "keharmonian" tidak masuk akal.

Katanya, program bertajuk "Pelajar Praktikal Bukan Buruh Paksa" adalah sesi dialog aman antara pelajar dan ahli panel.

Jumaat lalu, UiTM dilaporkan menegaskan Mahasiswa Demokratik Malaysia, penganjur program tidak menggunakan saluran rasmi memohon mengadakan program di Kampus Shah Alam, sehingga terpaksa menyekat Syed Saddiq menghadiri program dijadualkan itu.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Janor, dilaporkan berkata, sepatutnya aktiviti pihak luar perlu mendapat kelulusan daripada Naib Canselor, tetapi itu tidak berlaku.

Terdahulu, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi UMNO Johor hadir mempengerusikan Mesyuarat UMNO Johor yang pertamabagi penggal 2023- 2026 di Bangunan UMNO Johor di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO meminta supaya Syed Saddiq dan pengurusan UiTM bersemuka supaya program yang diatur itu dapat dilakukan selepas ini.

"Mungkin berlaku salah faham dari segi komunikasi. Dalam hal ini saya bagi pihak kementerian berharap agar kedua-dua pihak dapat berjumpadan mengatur semula program berkenaan agar dapat dibuat sekali lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 2:45 PM