S. Jhon Piter dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
S. Jhon Piter dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh peniaga pisang dan cempedak goreng dalam pergaduhan di Assam Kumbang, di sini, dua minggu lalu.

Tertuduh, S. Jhon Piter, 49, mengangguk tanda faham sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret R. Prabakaran namun tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Chor Kok Kuan, 59, di kaki lima gerai makanan Pasar Pokok Assam, Taiping antara jam 3.30 hingga 4.15 petang pada 12 September lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati; atau penjara minimum 30 tahun namun maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dihukum mati.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khoo Thean Heng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 November depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 12:52 PM