TINJAUAN orang ramai yang hadir di KWSP Shah Alam untuk mendaftar Akaun Fleksibel (Akaun 3). FOTO Genes Gulitah
TINJAUAN orang ramai yang hadir di KWSP Shah Alam untuk mendaftar Akaun Fleksibel (Akaun 3). FOTO Genes Gulitah
Nor Syazrina Muhamad Tahir dan Nurul Najwa Mohd Noordin

Shah Alam: Orang ramai membanjiri pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Seksyen 15, di sini, hari ini susulan pendaftaran Akaun Fleksibel dibuka sejak semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati ramai pencarum mendakwa kurang mahir menggunakan aplikasi KWSP i-Akaun selain tidak faham prosedur akaun ketiga.

Pencarum Siti Zubaidah Mahzan, 49, berkata walaupun sudah mendaftar secara atas talian, dia masih mempunyai kekeliruan terhadap proses caruman wang ke akaun ketiga.

"Sebenarnya, saya tidak jelas berkenaan pengeluaran wang dari akaun dua ke akaun tiga, jadi sebab itulah saya datang untuk tanya bagaimana proses yang sebenar.

"Dari dulu saya memang merancang kewangan, tambah lagi dalam keadaan ekonomi seperti sekarang, yang mendesak saya untuk terus berjaga-jaga dalam pengurusan wang," katanya.

Katanya, walaupun akaun ketiga berbentuk fleksibel, tetapi ia tidak bermakna pencarum boleh mengeluarkan duit secara sesuka hati.

Pekerja swasta, Muhammad Najmi Syafiq Muhammad Zamri, 23, berkata dia menepis tanggapan buruk terhadap pencarum muda sepertinya kerana dirinya kini memang mempunyai komitmen besar

"Walaupun usia saya masih muda, tetapi saya ada komitmen dan tanggungjawab yang tersendiri seperti menyara kehidupan keluarga.

"Alhamdulillah, gaji saya tidak begitu banyak, jadi pembukaan akaun ketiga ini sedikit sebanyak membantu merancang kewangan dengan lebih baik untuk kegunaan kecemasan," katanya.

Sementara itu, pencarum yang hanya ingin dikenali sebagai Suria, 45, berkata walaupun KWSP mewujudkan akaun fleksibel, namun prosesnya tidak dapat menampung kos hidup keluarganya.

"Saya gembira juga (apabila ada akaun fleksibel) kerana ada wang sedikit untuk sara hidup walaupun ia tidaklah banyak," katanya.

Katanya, jumlah caruman 10 peratus kepada akaun ketiga tidak begitu membantu kerana faktor barang mahal dan gaji pekerja yang tidak naik selain rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 1:54 PM