KHALED Nordin meninjau projek perumahan keluarga anggota tentera di Kem Terendak, Sungai Udang, hari ini. FOTO Amir Mamat
KHALED Nordin meninjau projek perumahan keluarga anggota tentera di Kem Terendak, Sungai Udang, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Melaka: Kementerian Pertahanan masih belum memberi kata putus berhubung permohonan sebahagian pengusaha kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menuntut pembayaran pampasan dibuat ke atas mereka.

Ia susulan penutupan pengoperasian semua kem berkenaan sejak enam tahun lalu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengusaha terbabit sebaliknya perlu mematuhi setiap dokumen yang terkandung dalam perjanjian ditandatangani mereka sebelum ini.

"Ada kontrak (perjanjian), kalau kontrak kata kena bayar, kena bayar (pampasan), kalau kontrak kata tak ada, tak adalah," katanya selepas mengadakan lawatan kerja dan ramah mesra Aidilfitri di Kem Terendak, Sungai Udang, di sini hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; EXCO Kanan Peruhaman, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin.

Ditanya sama ada kerajaan berhasrat untuk mengambil alih pengurusan semua kem terbabit, Mohamed Khaled berkata, pendekatan yang akan digunakan dalam latihan PLKN pada masa akan datang adalah berbeza dengan kaedah sebelum ini.

"Untuk PLKN akan datang kita tidak laksana pendekatan yang sebegitu (seperti sebelum ini)," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sebahagian pengusaha kem PLKN kini dibebani hutang jutaan ringgit, malah ada sudah diisytihar muflis kerana tidak mampu membayar pinjaman bank yang dibuat untuk projek membina, tambah baik dan naik taraf kem.

Untuk rekod, terdapat 81 kem PLKN di seluruh negara dengan kos keseluruhan pembinaan dianggar mencecah RM1 bilion. Setiap pengusaha mengeluarkan antara RM12 hingga RM19 juta untuk membina dan mengoperasikan kem bagi menjayakan program bermula 2004 itu yang kemudian dimansuhkan pada 2018.

Rata-rata mereka membuat pinjaman bank untuk membeli atau menyewa tanah, membina bangunan dan melengkapkannya dengan segala infrastruktur bagi memenuhi syarat ditetapkan kerajaan. Kini, ramai menanggung hutang bank, tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan pelbagai kerugian.

Rentetan itu, kerajaan dituntut membayar pampasan RM224 juta kepada pengusaha 57 kem PLKN yang kerugian dan menanggung beban hutang selepas program itu dimansuhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 2:12 PM