Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memulakan inisiatif program Penabungan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar Tahun 1 anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada kumpulan anggota lain-lain pangkat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program dilaksanakan mulai tahun ini menerusi Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan kerjasama PTPTN.

Beliau berkata, program dikenali sebagai Simpanan Pendidikan Madani (SPM) itu akan melibatkan sumbangan tabungan ke dalam akaun SSPN kepada 9,355 anak-anak warga ATM Tahun 1 bagi sesi Persekolahan 2024 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM467,750.

"Inisiatif kedua adalah kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah angkatan tentera.

"Peruntukan yang disalurkan melalui Kementerian Pendidikan ini akan memberi manfaat kepada 29 sekolah rendah dan menengah termasuk satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di dalam kem-kem ATM di seluruh negara.

"Kedua-dua inisiatif ini kita lakukan kerana kita percaya bahawa kebajikan serta pendidikan berkualiti adalah perkara yang harus menjadi sebahagian daripada fokus utama Kementerian Pertahanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Padang Kawad Maktab Tentera Diraja (MTD), Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Sementara itu, Mohamed Khaled turut meluangkan masa melakukan Lawatan Kerja ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Tun Abdul Razak (DTAR) di Kem Perdana Sungai Besi berkenaan.

Mohamed Khaled berkata, anggota-anggota tentera yang senantiasa sedia dan setia mempertaruhkan nyawa kepada negara tidak seharusnya dibebankan untuk turut memikirkan sendiri aspek kebajikan diri dan keluarga mereka.

"Kerajaan dan kementerianlah yang harus memberi perhatian kepada perkara-perkara ini. Jadi, kementerian sangat berharap yang kedua-dua inisiatif ini akan membantu semua anggota pertahanan negara menjalankan tugas dengan lebih baik.

"Pada masa sama, kita berharap yang inisiatif-inisiatif ini akan turut membantu melonjak ekosistem kebajikan serta pendidikan angkatan tentera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 12:27 PM