RUSDI (tengah) bersama menunjukkan dadah yang dirampas di IPD Cheras, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
RUSDI (tengah) bersama menunjukkan dadah yang dirampas di IPD Cheras, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sorok dadah dalam bungkusan makanan arnab selain membawa masuk 30 kilogram (kg) hingga 100 kg ganja dari Thailand menggunakan perkhidmatan kurier setiap minggu.

Malah, sindiket juga menjual ganja dalam pelbagai bentuk antaranya brownies bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Itu taktik sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang mendapatkan bekalan dari negara jiran sebelum dibungkus semula dan dijual di pasaran tempatan menerusi aplikasi Telegram.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menahan enam lelaki dan dua wanita tempatan berusia 24 hingga 42 tahun disyaki ahli sindiket berkenaan.

Menurutnya, mereka ditahan dalam enam serbuan di sekitar ibu negara pada 18 April dan kelmarin.

"Pasukan serbuan berjaya merampas ganja sebanyak 94.87 kg bernilai RM293,830 dalam serbuan di sebuah syarikat kurier, sebuah flat, tiga kondominium dan sebuah rumah.

"Mereka didapati menyewa apartmen dan kondominium berpengawal keselamatan untuk menjalankan kegiatan terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh.

Rusdi berkata, sindiket berkenaan menjadikan kondominium mewah sebagai stor simpanan bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Menurutnya, serbuan dijalankan hasil risikan polis susulan menerima maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah daripada orang awam.

Katanya, siasatan mendapati sindiket itu dipercayai aktif membawa masuk ganja dari negara jiran dan menjualnya di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri termasuk ke Sabah dan Sarawak sejak dua tahun lalu.

"Kita buat rampasan dan menemui dua bungkusan makanan arnab mengandungi dadah.

"Dia (sindiket) juga proses ganja dalam bentuk brownies dan pelbagai lagi bagi memenuhi permintaan pengguna. Mungkin pengguna rasa lebih selamat bila bawa dadah dalam bentuk itu (brownies)," katanya.

Menurutnya, sindiket itu menggunakan beberapa individu berperanan sebagai runner untuk menghantar bekalan dadah menggunakan perkhidmatan kurier.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.

"Semakan rekod pula mendapati tiga daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan dua daripada mereka juga didapati positif dadah jenis ganja.

"Pasukan serbuan merampas wang tunai berjumlah RM34,000, penimbang elektronik, pisau pemotong, mesin pengedap udara dan papan pemotong," katanya.

Menurutnya, lima suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 29 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tiga lagi suspek dilepaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 4:59 PM