Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta isteri di sambut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta kenamaan lain ketika tiba pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Sarawak Ke-19 di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta isteri di sambut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta kenamaan lain ketika tiba pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Sarawak Ke-19 di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerjasama rapat antara kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan keselarasan dasar pembangunan.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Sarawak memerlukan peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan.

Justeru katanya, beliau mahu Kerajaan Persekutuan terus menyediakan peruntukan pembangunan yang secukupnya.

Menurutnya, ia selaras dengan hak serta status Sarawak sebagai sebuah wilayah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Hubungan akrab dengan Kerajaan Persekutuan adalah ramuan pembangunan yang penting untuk Sarawak.

"Kita memerlukan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan khususnya dalam aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, pembangunan sempadan dan jaringan jalan raya utama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Wan Junaidi turut memuji komitmen tinggi kerajaan Sarawak menyediakan infrastruktur pendidikan serta perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat.

"Saya juga gembira kerana Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan pendekatan kerajaan Sarawak mendahulukan pembiayaan projek infrastruktur pendidikan dan kesihatan dan kemudian akan dibayar balik oleh Kerajaan Persekutuan.

"Menerusi pendekatan itu, pembangunan infrastruktur pendidikan dan kesihatan di Sarawak akan dapat dipercepatkan," katanya.

Sebagai bekas ahli politik dan ahli Kabinet dalam Kerajaan Persekutuan, Wan Junaidi berkata, kepentingan Sarawak khususnya MA63 amat dekat di hatinya.

Justeru katanya, pengembalian hak Sarawak yang termaktub dalam MA63 harus dilaksanakan.

"Kerajaan Sarawak perlu terus menuntut hak yang terhakis untuk dikembalikan kepada Sarawak dan yang belum dilaksanakan seperti yang dijanjikan supaya dilaksanakan segera selaras dengan MA63, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.

"Kita amat menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membentuk Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 dan Jawatankuasa Teknikal sebagai platform untuk membincangkan tuntutan Sarawak," katanya.

Menurutnya lagi, beliau yakin dengan kerjasama erat dan hubungan akrab kerajaan Sarawak dan Persekutuan, semua hak di dalam MA63 yang dituntut Sarawak dapat direalisasikan.

Sebanyak lima rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2023) 2024; RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2024; RUU Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024; RUU Penjagaan Kesihatan Awam (Pindaan) 2024 dan RUU Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan) 2024 akan dibentangkan pada persidangan

DUN Sarawak yang berlangsung selama lapan hari bermula hari ini hingga 15 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 2:08 PM