Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim menunjukkan sebahagian dari rampasan dadah yang ditemui dalam kondominium suspek. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim menunjukkan sebahagian dari rampasan dadah yang ditemui dalam kondominium suspek. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah menggunakan aplikasi Telegram, susulan tangkapan empat lelaki tempatan di kondominium berhampiran kawasan perindustrian Glenmarie, di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berumur 31 dan 32 tahun itu ditahan dalam operasi pada 6.40 petang Ahad lalu.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis ganja dengan anggaran berat 6.53 kilogram yang bernilai RM20,243.

"Hasil siasatan mendapati, modus operandi yang digunakan suspek adalah menggunakan kurier bagi menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan yang diterima melalui Telegram.

"Kumpulan Telegram dengan nama Pasir Berdengung," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau juga memaklumkan segala urus niaga dijalankan menerusi kumpulan Telegram itu, sementara begitu juga proses pembayaran dibuat ke satu akaun khas.

Mohd Iqbal berkata, sindiket juga menggunakan nama sama untuk akaun dengan syarikat kurier yang dipertanggungjawab untuk menghantar bekalan kepada pelanggan.

"Siasatan mendapati, kondominium berkenaan menjadi tempat pembungkusan dan segala kegiatan mereka termasuk tempat simpanan dadah.

"Ada pengawal keselamatan dan kita perlu kad akses untuk memasuki kondominium itu," katanya yang memaklumkan kegiatan itu dipercayai aktif sejak setahun lalu dan beroperasi untuk pasaran Lembah Klang.

Menurutnya, semua suspek direman tujuh hari hingga 21 Januari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas masing-masing sebuah kereta jenis Mazda 3, Perodua Bezza, motosikal Yamaha FZ1501 dan RSX.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 5:11 PM