Antara kereta yanng bakal dimenangi pelancong atau pengujung bertuah sempena TMM. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Antara kereta yanng bakal dimenangi pelancong atau pengujung bertuah sempena TMM. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Beli cenderamata khas Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 minimum RM15 dan berpeluang memenangi hadiah kereta Perodua Aruz dan Proton X50 menerusi kupon cabutan bertuah.

Itu antara tawaran istimewa kerajaan negeri bagi menarik pengunjung dan pelancong ke Melaka menerusi kempen Beli Cenderamata dan Menang sempena TMM 2024.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, cenderamata seperti baju T, topi, anak patung dan beg beli-belah boleh dibeli di kiosk di lokasi tumpuan pelancong di sekitar Melaka.

"Sekarang ini pelancong dan pengunjung boleh mendapatkan pelbagai cenderamata contohnya di Menara Taming Sari.

"Mereka boleh berbelanja minimum RM15 untuk beli cenderamata dan kita sedang memikirkan kaedah yang terbaik lagi... mungkin turunkan ke RM10 dan boleh layak menyertai cabutan bertuah ni.

"Setiap bulan kita akan buat cabutan dan esok Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof akan cabut untuk tiga bulan pertama, Januari, Februari dan Mac. Insya-Allah kita tengok siapa yang bertuah," katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau persiapan Majlis Pelancaran Kempen 'Beli Cenderamata & Menang', Aplikasi Jom Melaka Cari Makan dan Cabutan Bertuah sempena TMM 2024 di Kiosk Cenderamata, Banda Hilir, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Sa'ari Basiron.

Abdul Razak berkata, sebagai permulaan empat kiosk disediakan kerajaan negeri untuk memudahkan pelancong membeli cenderamata khas berkenaan dan mendapatkan kupon cabutan bertuah serta informasi pelancongan.

Katanya, selain di kawasan Bangunan Merah, Banda Hilir tiga lokasi lagi ialah di Jeti Sungai Melaka di Pengkalan Rama, Zoo Melaka dan Menara Taming Sari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 10:51 PM