BOMBA menemui mayat kanak-kanak lelaki dua tahun dalam tasik berhampiran Masjid UTP. FOTO Ihsan Bomba,
BOMBA menemui mayat kanak-kanak lelaki dua tahun dalam tasik berhampiran Masjid UTP. FOTO Ihsan Bomba,
Muhamad Lokman Khairi


Seri Iskandar: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam tasik berhampiran Masjid Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika keluarga mangsa menunggu untuk solat Zuhur.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 1.19 tengah hari.

"Maklumat yang diperoleh daripada keluarga dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) cuma menunjukkan kanak-kanak itu berada bersebelahan dengan tasik.

"Pasukan penyelamat di air (PPDA) yang melakukan selaman menjumpai mangsa pada jarak tiga meter daripada tebing tasik pada 4.25 petang.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 6:17 PM