Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Seorang lelaki maut selepas treler yang dipandunya terjunam ke dalam tasik di Jalan Batu Arang, berhampiran Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, di sini, petang tadi.

Kemalangan kira-kira 1 petang itu menyebabkan lelaki berusia 20-an itu maut dipercayai akibat lemas dan gagal diselamatkan selepas bantuan pernafasan diberikan pasukan perubatan.

Jurucakap bomba berkata, ketika kejadian, treler yang membawa muatan bata itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan dan terjunam ke dalam tasik.

Menurutnya, pasukan Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dihantar ke lokasi kemalangan untuk memeriksa sekiranya masih ada mangsa yang terperangkap namun tiada mangsa lain selepas pemeriksaan lanjut dibuat.

"Mayat pemandu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 3:48 PM