Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang belum boleh memuktamadkan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut kerana masih menunggu pelan induk daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) membabitkan pembesaran kemudahan di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata EXCO kerajaan negeri baharu sahaja diberi taklimat oleh SPPP mengenai Pelan Induk Pembangunan SPPP dalam tempoh 30 tahun (2023-2053).

Beliau memaklumkan, Jawatankuasa Pemandu kerajaan negeri di bawah EXCO Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari akan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh SPPP itu.

"Sebagai pemilik projek terowong dasar laut, kerajaan negeri akan membuat keputusan muktamad mengenai projek itu selepas mendengar cadangan daripada Jawatankuasa Pemandu.

"Kita masih menunggu kajian kebolehlaksanaan ini dimuktamadkan dan kajian itu tidak dapat dimuktamadkan kerana kita masih menunggu penyediaan dan kelulusan pelan induk berkenaan.

"Sama ada projek terowong ini akan diteruskan atau meminda jajaran atau reka bentuk saya percaya Jawatankuasa Pemandu akan membuat syor untuk pertimbangan kerajaan negeri kelak," katanya," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Tambah Chow, Jawatankuasa Pemandu itu juga akan mengadakan perbincangan lanjut sebelum mengemukakan sebarang syor berkaitan untuk pertimbangan Kerajaan Negeri dan seterusnya mencapai keputusan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 10:06 PM