Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
BERNAMA

BEBERAPA pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini hadir di bangunan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown untuk mengambil keterangan beberapa petugas.

Dua pasukan SPRM tiba di tingkat 52, Komtar pada 9.35 pagi, yang menempatkan pejabat Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P Ramasamy dan dua Exco kerajaan negeri Zairil Khir Johari serta Yeoh Soon Hin.

Ramasamy ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, empat pegawai SPRM termasuk dua pengawal tiba di pejabatnya pada 10 pagi.

"Mereka tidak temu bual saya. Mereka cuma ambil keterangan kakitangan saya dan ambil jadual kerja. Selain itu, mereka turut mengambil gambar pejabat, dan semua proses selesai pada 1.15 tengah hari," katanya.

Terdahulu, empat pegawai SPRM turut dilihat memasuki pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Pulau Pinang Zairil Khir Johari.

Zairil berkata, SPRM datang untuk mengambil gambar pejabatnya selain keterangan petugas.

"Saya tidak berada di pejabat pagi ini kerana terpaksa mempengerusikan mesyuarat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Saya difahamkan mereka hanya datang untuk ambil gambar pejabat," katanya.

Difahamkan, kehadiran SPRM mempunyai kaitan dengan siasatan isu rasuah berkaitan projek mega terowong dasar laut negeri.

Rabu lalu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow memaklumkan kerajaan negeri menerima surat daripada SPRM untuk menemubual beberapa Exco dan pemimpin negeri berhubung isu terbabit.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Jeffrey Chew Gim Eam sebelum ini direman empat hari bermula 1 Julai lalu bagi membantu siasatan kes.

Difahamkan, penahanan Chew adalah berkaitan siasatan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 4:09 PM