LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nur Izzati Mohamad


KERAJAAN Pulau Pinang akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan semula projek terowong dasar laut, susulan penahanan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Jeffrey Chew.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, beliau dimaklumkan mengenai penahanan Jeffrey, namun kurang pasti mengenai kandungan siasatan.

Bagaimanapun, beliau percaya ia berhubung projek terowong dasar laut di negeri itu.

"Sebenarnya kerajaan negeri sebelum ini ada menerima surat dari SPRM yang mahu menemuramah pemimpin negeri terdiri daripada Exco penggal lalu berkaitan projek terowong dasar laut.

"Ketika itu, pendirian yang diambil adalah beri kerjasama sepenuhnya supaya siasatan boleh dijalankan.

"Ia sudah pun selesai, namun terbaru kita tidak tahu apakah siasatan yang ingin dilakukan dan kerajaan negeri akan serahkan kepada SPRM untuk menjalankan tugas mereka," katanya di Georgetown hari ini.

Chow berkata, pada 2018 kerajaan negeri menerima dua surat dari SPRM yang membersihkan nama kontraktor projek berkenaan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd dan Pengarah Eksekutif Kanannya, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli daripada sebarang salah laku.

Beliau berkata, SPRM memaklumkan siasatan kes berkenaan sudah selesai dilakukan dan tiada sebarang pendakwaan yang dibuat dalam kes terbabit.

Semalam, Jeffrey yang juga bekas Timbalan Bendahari DAP Pulau Pinang ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah pada jam 2 petang.

Beliau kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, pelbagai kontroversi tercetus berhubung projek terowong sepanjang 7.2 kilometer (km) menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai yang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion itu.

SPRM dalam satu kenyataan pada 4 Mac lalu mengesahkan sudah membuka enam kertas siasatan berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Berita berkaitan

  • 'Jeffrey Chew ditahan bantu siasatan kes rasuah terowong dasar laut'
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 5:06 PM